Sunnah Tidur Tengahari Dan Penemuan Semasa...
Tidur
siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan.
Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang
itu tidak berlebih-lebihan dengannya.
Di
dalam kitab 'Misykatul Masabih' disebutkan tentang salah
satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi:"Tidur
yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji.Rasulullah
ada melakukannya."
Imam
Al Ghazali di dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' telah berkata:
"Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di
siang hari kerana
ianya membantu ibadah di malam hari sebagaimana sahur
membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun
sebelum tergelincir matahari untuk solat zohor."
Islam
mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari.
Ia
dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai suatu yang keji.
Tidurnya hanya sekejap. Tujuannya adalah untuk kesegaran
tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan
amal dan ibadah yang berkualiti. Dewasa ini, berpandukan
kajian-kajian saintifik, tidur sekejap di waktu siang
(day napping), terutamanya pada waktu tengahari, didapati
amat berkesan untuk mempertingkatkan tenaga, tumpuan dan
akhirnya produktiviti pekerja-pekerja. Baru-baru ini satu
kajian 25 tahun tentang kesan tidur ke atas negara-negara
industri dan pasca-industri telah mendapati bahawa "92.5%
pekerja-pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengahari,
mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan
mereka untuk menyelesaikan masalah juga meningkat. Semua
ini pastinya meningkatkan produktiviti." (Napping
News: 'Scientific Proof Confirms: Napping Enhances Worker
Productivity,' from
eFuse)
Waktu
tengahari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur
seketika kerana sistem badan kita memang bersedia untuk
memanfaatkan fasa tidur pada waktu itu. Fasa ini disebutkan
sebagai 'a midafternoon quiescent phase' atau ' a secondary
sleep gate.' Di antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur
tengahari ini ialah Dr. William A. Anthony, Ph.D. dan
Camille W. Anthony, pengarang buku 'The Art of Napping
at Work.' Demikian juga yang disebutkan oleh David F.
Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka 'Sleep
and Alertness: Chronobiological, Behavioural and Medical
Aspects of Napping.' Dr. James Maas, pakar tidur dari
Cornell University juga telah merumuskan bahawa tidur
di tengahari sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk
mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan. Seorang pengkaji
yang lain, Donald Greeley, telah mengatakan bahawa tidur
tengahari adalah bermanfaat selama mana ianya tidak melebihi
satu jam. (Gail Benchener: 'Parents and Sleep Deprivation,'
Family.com)
Sunnah
tidur tengahari yang diajarkan Nabi rupa-rupanya merupakan
suatu yang amat saintifik lagi relevan pada hari ini.
(Laporan
saintifik tentang kelebihan tidur tengahari ke atas produktiviti
berdasarkan kajian 25 tahun)
|