Menerima dengan redha musibah yang menimpa diri...
Assalamu'alaikum.
HIDUP kita memang penuh dengan dugaan dan ujian. Tanpa
ujian dan dugaan, sudah tentu hidup kita yang cuma sementara
ini akan menjadi hambar. Sesungguhnya apa saja yang ditakdirkan
menimpa diri kita, mempunyai tujuan atau hikmahnya yang
tertentu.
Hikmah itu pula kadangkala kita sedari setelah sesuatu
ujian yang menimpa kita itu berlalu atau juga langsung
tidak kita ketahui sehingga akhir hayat kita.
Allah berfirman, maksudnya: "Yang menjadikan mati
dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu
yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha
Pengampun…." (Surah al-Mulk, ayat 2) Dalam mendepani
ujian atau musibah yang melanda diri, kita sentiasa diingatkan
supaya sentiasa bersabar dan menerimanya dengan hati terbuka
serta penuh reda.
Inilah panduan yang cukup berharga untuk diri kita agar
kita dapat mengatasi setiap dugaan dengan penuh ketakwaan
dan kebijaksanaan. Dalam kitab Jami' al-Tirmizi disebutkan
bahawa Rasulullah bersabda: "Apabila Allah mencintai
sesuatu kaum, maka Dia menguji mereka. Sesiapa yang reda,
ia akan mendapat keredaan Allah dan sesiapa yang marah,
ia akan mendapat kemurkaan Allah".
Kesimpulan yang dapat dibuat daripada hadis ini ialah
keredaan Allah bergantung kepada sikap kita dalam menerima
segala ujian-Nya. Sekiranya kita reda, maka sudah pasti
Allah akan meredai kita dan menunjukkan laluan yang mudah
untuk kita.
Akhirnya, kita akan dibimbing untuk menyelesaikan segala
kesulitan dengan penuh ketenangan dan kebijaksanaan.
Sekiranya pula kita berasa marah, kecewa dan tidak reda
dengan apa yang ditimpa Allah ke atas kita, kita sesungguhnya
menyebabkan Dia memurkai kita. Tanpa kita sedari, kita
sebenarnya sudah mencampakkan diri kita ke dalam kebinasaan.
Tanpa keredaan Allah, bagaimanakah mungkin kita dapat
melayari hidup ini dengan sebaik-baiknya, apatah lagi
untuk menghadapi segala musibah dan dugaan yang juga datang
daripada-Nya. Sudah pastilah jiwa kita tidak akan tenteram,
langkah kita akan pincang dan hidup kita secara keseluruhannya,
hilang arah.
Khalifah Umar ibn Abdul Aziz, pernah berkata "Keredaan
terhadap sesuatu musibah adalah kedudukan yang tinggi.
Namun, Allah menjadikan kesabaran sebagai jalan pilihan
yang baik."
Muhammad ibn Idris al-Syafi'e, pula berkata Zubair ibn
Ubad bercerita kepada kami daripada Sari ibn Hayyan, beliau
berkata bahawa Abdul Wahid ibn Zaid berkata, "Keredaan
ialah pintu Allah yang Maha Agung, syurga dunia dan lampu
bagi ahli-ahli ibadah."
Kata-kata Abdul Wahid ini menjelaskan kepada kita bahawa
keredaan kita terhadap setiap kurniaan Allah, suka dan
duka, nikmat dan musibah, akan lebih mendekatkan kita
kepada-Nya dan memberikan kita kehidupan yang penuh kebahagiaan
di dunia ini.
Sekiranya kita menilai kedudukan diri kita ini yang begitu
daif dan kerdil selain berharap hanya kepada Allah, kita
akan menginsafi bahawa kita perlu menerima segala yang
diberikan oleh-Nya. Siapakah kita untuk menolaknya dan
siapakah kita untuk mencari-cari kekurangan pemberian
berkenaan.
Rasulullah bersabda: "Demi Zat yang diriku ada di
tangan-Nya, tiadalah Allah menentukan sesuatu keputusan
kepada hamba-Nya yang mukmin melainkan akan membawa kebaikan
kepadanya. Hal ini tidak berlaku kepada yang lain. Apabila
Dia menimpakan kebaikan kepadanya, ia mensyukuri-Nya,
maka hal itu membawa kebaikan kepadanya. Dan apabila Dia
menimpakan penderitaan ke atasnya, ia lalu bersabar terhadapnya
dan ini pun adalah baik baginya" (hadis riwayat Muslim).
Setiap perkara yang diturunkan oleh Allah sememangnya
berkaitan apa yang kita lakukan. Ini termasuk musibah,
iaitu sekiranya kita melakukan atau terbabit dalam perkara-perkara
bertentangan dengan perintah-Nya.
Ini sesuai dengan firman Allah bermaksud: "Apa saja
nikmat yang kamu peroleh ialah daripada Allah dan apa
saja bencana yang menimpa kamu, maka daripada (kesalahan)
diri kamu sendiri." (Surah al-Nisa', ayat 79)
Dalam satu ayat yang lain, Allah berfirman bermaksud:
"Dan Kami uji mereka dengan (nikmat) yang baik-baik
dan (bencana) yang buruk-buruk agar mereka kembali (kepada
kebenaran)" (Surah al-A'raf, ayat 168).
Di samping itu, musibah yang diturunkan oleh Allah juga
untuk menguji tahap kesabaran, tingkat kesyukuran selain
mengukuhkan keimanan seseorang, khususnya bagi hamba-Nya
yang beriman.
Daripada satu aspek, musibah yang ditimpakan Allah juga
adalah rahmat yang besar bagi hamba-Nya yang mukmin ini,
iaitu untuk membersihkan diri, bertaubat kepada Allah
dan menyesali segala kesilapan yang telah dilakukan.
Hamba yang bertaubat samalah seperti orang yang dikatakan
oleh Sa'id ibn Jubair: "Sesungguhnya seseorang hamba
itu akan melakukan kebaikan, namun ia dimasukkan ke dalam
neraka dan ada pula yang melakukan kejahatan lalu ia di
masukkan ke dalam syurga. Ini disebabkan orang yang melakukan
kebaikan itu berasa 'ujub dengan kebaikannya. Sedangkan
yang melakukan kejahatan pula menginsafi dirinya dan memohon
ampun kepada Allah serta bertaubat kepada-Nya." Reda,
adalah amalan hati, namun adalah lebih baik lagi jika
kita dapat menterjemahkannya dalam kata-kata, iaitu pujian
terhadap Allah.
Tindakan memuji Allah ini adalah sangat utama sehingga
ada yang menyatakan bahawa pujian itulah yang disebutkan
reda.
Dalam sebuah hadis dijelaskan, "Orang pertama yang
dipanggil untuk masuk ke syurga ialah orang yang selalu
memuji Allah, sama ada dalam kesenangan mahupun dalam
penderitaan."
Dalam perkara ini, Rasulullah memberikan kita panduan
yang benar-benar berharga. Sebagai contoh ialah hadis
yang menyebut bahawa sekiranya Baginda menerima berita
yang menyenangkan, Baginda akan segera mengucapkan: "Segala
puji bagi Allah dengan kenikmatan-Nya. Sempurnalah segala
kebaikan."
Sesungguhnya Baginda orang yang paling banyak memuji Allah
dan demikianlah Baginda amat menggalakkan umatnya melakukan
perkara yang sama dengan penuh kerelaan, sama ada dalam
kesenangan mahupun penderitaan.
Tindakan memuji Allah dengan rela disebabkan dua perkara
:-
1. 1. Kesedaran hamba bahawa Allahlah yang menentukan
sesuatu musibah yang ditimpa ke atas dirinya. Ia juga
meyakini bahawa Allahlah sebaik-baik Pencipta dan Dialah
Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
2. 2. Hamba berkenaan juga hendaklah yakin bahawa pilihan
Allah untuk hamba-Nya itu adalah lebih baik daripada pilihannya
atas diri sendiri.
Sekiranya
kita ditimpa musibah, kita hendaklah menyedari bahawa
yang memberikan musibah itu ialah Allah Yang Maha Bijaksana
dan Maha Pengasih.
Sesungguhnya Allah tidak menimpakan musibah itu untuk
memusnahkan diri kita dan bukan untuk menyeksa kita.
Sebaliknya, ia semata-mata bertujuan menguji kesabaran
dan keredaan, menguji kadar keimanan, mendengar permohonan
ampun dan taubat selain melihat bagaimanakah caranya kita
mengetuk pintu rahmat-Nya dengan hati yang khusyuk serta
tangan menadah, memohon dipermudahkan laluan seterusnya.
Renungilah kata-kata Abdul Kadir al-Jailani kepada anaknya:
"Wahai anakku, sesungguhnya musibah itu datang bukan
untuk merosakkan dirimu tetapi untuk menguji kesabaran
dan keimananmu. Wahai anakku, takdir ialah seperti binatang
buas dan binatang buas tidaklah memakan bangkai".
Wasallam.
~sahabat~
|