Syidatina
Fatimah r.ha : Penghulu Wanita Syurga
Dia
membesar dalam suasana kesusahan. Bondanya pergi ketika
usianya terlalu muda dan masih memerlukan kasih sayang
seorang ibu. Sejak itu, dialah yang mengambil alih tugas
menguruskan rumahtangga seperti memasak, mencuci, mengemas
rumah dan menguruskan keperluan ayahandanya.
Di
sebalik kesibukan itu, dia juga adalah seorang yang paling
kuat beribadah. Keletihan yang ditanggung akibat seharian
bekerja menggantikan tugas ibunya yang telah pergi itu,
tidak pula menghalang Sayidatina Fatimah daripada bermunajata
dan beribadah kepada Allah SWT. Malam- malam yang dilalui,
diisi dengan tahajud, zikir dan siangnya pula dengan sembahyang,
puasa, membaca Al Quran dan lain-lain. Setiap hari, suara
halusnya mengalunkan irama Al Quran.
Di
waktu umurnya mencapai 18 tahun, dia dikahwinkan dengan
pemuda yang sangat miskin hidupnya. Bahkan oleh kemiskinan
itu, untuk membayar mas kahwin pun suaminya tidak mampu
lalu dibantu oleh Rasulullah SAW. Setelah berkahwin kehidupannya
berjalan dalam suasana yang amat sederhana, gigih dan
penuh ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Digelar Singa
Allah, suaminya Sayidina Ali merupakan orang kepercayaan
Rasulullah SAW yang diamanahkan untuk berada di barisan
hadapan dalam bala tentera Islam. Lalu, seringlah Sayidatina
Fatimah ditinggalkan oleh suaminya yang pergi berperang
untuk berbulan-bulan lamanya. Namun dia tetap redha dengan
suaminya. Isteri mana yang tidak mengharapkan belaian
mesra daripada seorang suami. Namun bagi Sayidatina Fatimah
r.ha, saat-saat berjauhan dengan suami adalah satu kesempatan
berdampingan dengan Allah SWT untuk mencari kasih-Nya,
melalui ibadah-ibadah yang dibangunkan.
Sepanjang
pemergian Sayidina Ali itu, hanya anak-anak yang masih
kecil menjadi temannya. Nafkah untuk dirinya dan anak-anaknya
Hassan, Hussin, Muhsin, Zainab dan Umi Kalsum diusahakan
sendiri. Untuk mendapatkan air, berjalanlah dia sejauh
hampir dua batu dan mencedoknya dari perigi yang 40 hasta
dalamnya, di tengah bahang mentari padang pasir yang terik.
Kadangkala dia berlapar sepanjang hari. Sering pula dia
berpuasa dan tubuhnya sangat kurus hingga menampakkan
tulang di dadanya.
Pernah
suatu hari, sedang dia tekun bekerja di sisi batu pengisar
gandum, Rasulullah datang berkunjung ke rumahnya. Sayidatina
Fatimah yang amat keletihan ketika itu lalu meceritakan
keperitan hidupnya itu kepada Rasulullah SAW. Betapa dirinya
teruk bekerja, mengisar tepung, mengangkat air, memasak
serta melayan anak-anak. Dia berharap agar Rasulullah
dapat menyampaikan kepada Sayidina Ali, kalau mungkin
boleh disediakan untuknya seorang pembantu rumah. Rasulullah
saw merasa belas terhadap penanggungan anakandanya itu.
Namun baginda amat tahu, sesungguhnya Allah memang menghendaki
kesusahan bagi hamba-Nya sewaktu di dunia untuk membeli
kesenangan di akhirat. Mereka yang rela bersusah payah
dengan ujian di dunia demi mengharapkan keredhaan-Nya,
mereka inilah yang mendapat tempat di sisi-Nya.
Lalu
dipujuknya Fatimah r.ha sambil memberikan harapan dengan
janji-janji Allah. Baginda mengajarkan zikir, tahmid dan
takbir yang apabila diamalkan, segala penanggungan dan
bebanan hidup akan terasa ringan. Ketaatannya kepada Sayidina
Ali menyebabkan Allah SWT mengangkat darjatnya. Sayidatina
Fatimah tidak pernah mengeluh dengan kekurangan dan kemiskinan
keluarga mereka. Tidak juga dia meminta-minta hingga menyusah-nyusahkan
suaminya.
Dalam
pada itu, kemiskinan tidak menghilang Sayidatina Fatimah
untuk selalu bersedekah. Dia tidak sanggup untuk kenyang
sendiri apabila ada orang lain yang kelaparan. Dia tidak
rela hidup senang dikala orang lain menderita. Bahkan
dia tidak pernah membiarkan pengemis melangkah dari pintu
rumahnya tanpa memberikan sesuatu meskipun dirinya sendiri
sering kelaparan. Memang cocok sekali pasangan Sayidina
Ali ini kerana Sayidina Ali sendiri lantaran kemurahan
hatinya sehingga digelar sebagai 'Bapa kepada janda dan
anak yatim' di Madinah.
Namun,
pernah suatu hari, Sayidina Fatimah telah menyebabkan
Sayidina Ali tersentuh hati dengan kata-katanya. Menyedari
kesilapannya, Sayidatina Fatimah segera meminta maaf berulang-ulang
kali. Apabila dilihatnya air muka suaminya tidak juga
berubah, lalu dengan berlari-lari anak dia mengelilingi
Sayidina Ali. Tujuh puluh kali dia 'tawaf' sambil merayu-rayu
memohon dimaafkan. Melihatkan aksi Sayidatina Fatimah
itu, tersenyumlah Sayidina Ali lantas memaafkan isterinya
itu.
"Wahai
Fatimah, kalaulah dikala itu engkau mati sedang Ali tidak
memaafkanmu, nescaya aku tidak akan menyembahyangkan jenazahmu,"
Rasulullah SAW memberi amaran kepada puterinya itu apabila
perkara itu sampai ke pengetahuan baginda. Begitu sekali
kedudukan seorang suami yang ditetapkan Allah SWT sebagai
pemimpin bagi seorang isteri. Betapa seorang isteri itu
perlu berhati-hati dan sangat berhalus di saat berdepan
dengan suami. Apa yang dilakukan Sayidina Fatimah itu
bukanlah disengajakan. Apatah lagi, bukan juga dia merungut-rungut,
marah-marah, meninggi suara, bermasam muka, merajuk atau
lain-lain keranah yang menyusahkan Sayidina Ali k.w. Pun
Rasulullah SAW berkata begitu terhadapnya.
Semasa
perang Uhud, Sayidatina Fatimah telah turut sama merawat
luka Rasulullah. Dia juga turut bersama Rasulullah semasa
peristiwa penawanan Kota Makkah dan ketika ayahandanya
mengerjakan 'Haji Wida' pada akhir tahun 11 Hijrah. Dalam
perjalanan haji terakhir ini Rasulullah SAW telah jatuh
sakit. Sayidatina Fatimah tetap di sisi ayahandanya. Ketika
itu Rasulullah membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah
r.ha yang membuatkannya menangis, kemudian Nabi SAW membisikkan
sesuatu lagi yang membuatkannya tersenyum.
Dia
menangis kerana ayahandanya telah membisikkan kepadanya
berita kematian baginda. Namun, sewaktu ayahandanya menyatakan
bahawa dialah orang pertama yang akan berkumpul dengan
baginda di alam baqa', gembiralah hatinya. Sayidatina
Fatimah meninggal dunia enam bulan setelah kewafatan Nabi
SAW, dalam usia 28 tahun dan dimakamkan di Perkuburan
Baqi', Madinah.
Begitu
sekali wanita yang utama, agung dan namanya harum tercatat
dalam al-Quran, disusah-susahkan hidupnya oleh Allah SWT.
Sengaja dibuat begitu oleh Allah kerana Dia tahu bahawa
dengan kesusahan itu, hamba-Nya akan lebih hampir kepada-Nya.
Begitulah juga dengan kehidupan wanita-wanita agung yang
lain. Mereka tidak sempat berlaku sombong serta membangga
diri atau bersenang-senang. Sebaliknya, dengan kesusahan-kesusahan
itulah mereka dididik oleh Allah untuk sentiasa merasa
sabar, redha, takut dengan dosa, tawadhuk (merendah diri),
tawakkal dan lain-lain. Ujian-ujian itulah yang sangat
mendidik mereka agar bertaqwa kepada Allah SWT. Justeru,
wanita yang berjaya di dunia dan di akhirat adalah wanita
yang hatinya dekat dengan Allah, merasa terhibur dalam
melakukan ketaatan terhadap-Nya, dan amat bersungguh-sungguh
menjauhi larangan-Nya, biarpun diri mereka menderita.
|