Konsep
pembinaan rumah bercirikan Islam...
RUMAH
atau projek perumahan yang bercirikan Islam perlu diwujudkan
bertujuan untuk mendorong cara hidup Islam yang menyeluruh
dapat dipraktikkan.
Ciri-ciri
perhiasan luaran seperti, kubah, ayat-ayat Al-Quran atau
motif-motif geometri Islam bukanlah kriteria yang akan
menjadikan sesuatu reka bentuk rumah kediaman itu "Islamik"
atau tidak. Tetapi terdapat beberapa aspek yang perlu
diberi penelitian.
(i)
Wujudkan sempadan yang nyata antara ruang tamu dan ruang
keluarga supaya "privacy" penghuni dapat dijamin
dan aurat wanita dapat dijaga. Sementara setiap bilik
tidur dapat dimasuki oleh kaum wanita tanpa perlu melalui
para tetamu. Sekiranya ini tidak dapat dilakukan maka
pintu masuk ke bilik tidur mestilah terlindung dari pandangan
umum dan ini boleh dilaksanakan dengan mewujudkan satu
"lobby" (ruang legar) yang sekecilnya 1.2m kali
1.2m sudah memadai.
(ii)
Wujudkan dua jalan keluar masuk iaitu, satu untuk umum
dan satu lagi khusus untuk penghuni rumah terutamanya
kaum wanita.
(iii)
Perlunya ruang yang terlindung untuk kaum wanita menjalankan
aktiviti-aktiviti luaran tanpa menimbulkan sebarang ketidak
selesaan kepada mereka selain daripada menghindar sebarang
fitnah.
(iv)
Orientasi rumah yang dibina perlulah mengambil kira arah
kiblat supaya dapat memberi ruang yang maksima untuk mendirikan
solat berjamaah agar aktiviti-aktiviti di dalam bilik
air dapat dilakukan dengan menghormati kiblat.
(v)
Setiap rumah keluarga disarankan mempunyai paling minima
tiga bilik tidur. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah
yang menyuruh umatnya mengasingkan tempat tidur anak lelaki
dan anak perempuan apabila mereka mencapai umur 10 tahun.
Dengan itu perlu diwujudkan setiap bilik bagi ibu bapa,
anak lelaki dan anak perempuan.
(vi)
Terdapat ruang yang terlindung untuk kaum wanita, ruang
kerja dan interaksi untuk kaum wanita dan kedudukan serta
orientasi tandas dan bilik air.
(vii)
Cadangan bagi mewujudkan perumahan bercirikan Islam turut
menggesa penguatkuasa tempatan yang bertanggungjawab meluluskan
permohonan pembangunan menggalakkan pemaju-pemaju mengintegrasikan
ciri-ciri penggalak kepada cara hidup Islam di dalam reka
bentuk projek-projek perumahan.
(viii)
Perlu disedari bahawa perumahan bercirikan Islam tidak
hanya patut dinilai dari segi reka bentuk tetapi sumber
kewangan yang memajukannya juga mestilah bebas dari unsur-unsur
yang diharamkan oleh Islam. Contohnya sebuah projek perumahan
yang dibiayai oleh bank yang melibatkan riba' tidak boleh
diklasifikasikan sebagai perumahan yang bercirikan Islam
walaupun dari segi ciri-ciri reka bentuk ianya memenuhi
syarat-syarat yang ditetapkan.
(ix)
Berdasarkan hadis Rasullulah s.a.w tentang mengasingkan
tempat tidur kanak-kanak lelaki dan perempan, rumah tiga
bilik ini adalah satu keperluan kepada rakyat. Dengan
itu sekiranya rakyat tidak mampu akibat dari kenaikan
kos maka menjadi tanggungjawab kerajaan dan pemaju untuk
memastikan rakyat boleh mampu sama ada dengan memberi
subsidi kepada kos pembinaan seperti mengurangkan atau
memberi pelepasan untuk cukai-cukai keatas pelbagai bahan
binaan yang digunakan, memanjangkan jangkamasa pembayaran
balik dan sebagainya.
Kriteria-kriteria
yang dinyatakan lebih kepada konsep perumahan yang ideal
oleh kerana kebaikan yang ada pada Islam itu adalah universal
dan boleh dimanfaatkan untuk semua bangsa.
Artikel
di atas adalah hasil perbincangan meja bulat bertajuk
"Konsep Perumahan Yang Bercirikan Islam Menyeluruh"
pada program Wacana Perumahan
Islam yang diadakan baru-baru ini.
Oleh
ISKANDAR ABDUL SAMAD
|