Pengertian berjihad sesama Islam.
TERDAPAT
banyak kekeliruan di kalangan umat Islam tentang pengertian
jihad. Kekeliruan pertama ialah tentang makna jihad itu
sendiri yang sering dimengertikan sebagai peperangan mengangkat
senjata yang membawa kepada pertumpahan darah dan pembunuhan.
Yang kedua ialah tentang golongan yang menjadi sasaran
jihad atau golongan yang harus diperangi itu.
Ketika
berlaku krisis Perang Teluk yang melibatkan dua buah negara
Islam iaitu Iraq dan Kuwait, maka kedua-dua belah pihak
mendakwa bahawa masing-masing sedang berjihad. Kedua-dua
belah pihak mendakwa bahawa mangsa peperangan mereka yang
gugur dalam peperangan itu adalah gugur syahid, kerana
kedua-duanya sedang berperang jihad.
Peperangan
yang dikatakan perang jihad ini sebenarnya tidak menepati
makna jihad yang dimaksudkan dalam agama, dan sasaran
yang diperangi itu juga bukanlah merupakan sasaran jihad
yang sebenarnya seperti yang dituntut oleh agama.
Oleh
itu perkara pertama yang seharusnya difahami tentang pengertian
jihad ini ialah maksud dan tuntutan jihad serta siapakah
atau apakah objek yang seharusnya diperangi dalam menegakkan
jihad ini menurut ajaran agama Islam yang suci.
Sejarah
perjuangan Rasulullah s.a.w dari permulaan baginda dibangkitkan
menjadi Rasul untuk menegakkan agama Allah s.w.t yang
suci di kalangan umat manusia sehinggalah baginda berjaya
mengembang dan menegakkan Islam dengan amat kuat sekali
sehingga ke hari kiamat nanti, adalah penuh dengan catatan
sejarah dan pengajaran yang dapat dijadikan panduan yang
amat baik dalam memahami pengertian jihad dan matlamatnya.
Rasulullah
s.a.w pada peringkat awal perutusannya di Mekah tidak
mempunyai kekuatan yang cukup untuk menentang kekuatan
golongan musuhnya dalam berbagai-bagai bidang, khususnya
kekuatan fizikal dan mental para pengikut baginda yang
amat terhad bilangannya. Oleh itu, jihad baginda pada
peringkat awal ini ialah melalui pengajaran baginda bagi
menguatkan akidah dan pendidikan bagi meningkatkan rohani
dan semangat serta keyakinan diri di kalangan penganut
Islam itu sendiri.
Jihad
baginda pada peringkat seterusnya ialah kesanggupan baginda
dan para sahabat setianya untuk berkorban meninggalkan
segala kesenangan dan keselesaan hidup di tanah tumpah
darah di Mekah berpindah ke Madinah. Baginda berhijrah
ke Madinah dengan segala susah payahnya, adalah satu perintah
Allah s.w.t sebagai satu strategi yang penting dan bersejarah
dalam perkembangan agama Allah s.w.t dalam fasa barunya,
dan dalam mendidik ummah agar dapat mempertingkatkan daya
juang mereka dari segi rohani, mental dan fizikal.
Akhirnya
setelah baginda mempunyai persiapan yang lengkap dan kekuatan
yang dapat menandingi kekuatan musuh serta struktur negara
yang kukuh, maka baginda diizinkan berperang menentang
pencerobohan dan pengkhianatan para penentangnya yang
sengaja melakukan langkah-langkah provokasi bagi menghancurkan
agama dan umat Islam. Dalam konteks ini Allah s.w.t berfirman
yang bermaksud:
Telah
diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi
(kaum Muslimin), kerana sesungguhnya mereka telah dianiayai.
Dan sesungguhnya Allah benar-benar berkuasa menolong mereka
itu, (iaitu) orang-orang yang diusir dari kampung halaman
mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka
berkata: Tuhan kami hanyalah Allah. (Al-Haj, ayat 39-40).
Maka
ketika inilah baginda memasuki medan jihad yang merupakan
peperangan suci untuk mempertahankan agama dan diri daripada
musuh-musuh yang sememangnya ingin menghancurkan agama
dan umatnya.
Jika
kita lihat sejarah perjuangan baginda, ternyata bahawa
jihad baginda sepanjang perutusannya ialah untuk menentang
kejahilan, kemiskinan, hawa nafsu, sifat bongkak, munafik
dan sebagainya. Jihad baginda bermula dengan wahyu pertama
yang menekankan tentang tulis dan baca. Ini merupakan
lambang peningkatan ilmu pengetahuan dan kebudayaan manusia
yang tinggi sebagai makhluk yang bertamadun. Kemudian
berjihad menghapuskan kemiskinan dan kepapaan yang dialami
oleh orang miskin dan anak yatim, seterusnya berjihad
dalam bidang pengajaran dan pendidikan bagi mendidik jiwa
manusia supaya kuat dan dinamik dari segi rohani, badani
dan aklinya.
Inilah
jihad dan perjuangan Rasulullah s.a.w yang memenuhi hidupnya,
iaitu mempertingkatkan kehidupan umat dan mutu agama dalam
semua bidang, termasuk mempertingkatkan akhlak dan moral
manusia dengan contoh teladan baginda yang amat mulia
tutur kata dan tingkah lakunya.
Pengertian
jihad inilah yang seharusnya difahami dan direalisasikan
oleh angkatan umat Islam kini, terutamanya dalam menghadapi
arus globalisasi dan penindasan baru yang amat kuat melanda
masyarakat dan negara-negara Islam sekarang. Kita kini
seolah-olah berada pada pusingan pertama ketika baginda
Rasulullah s.a.w memulakan perjuangan di Mekah, iaitu
yang menuntut jihad untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan,
jihad untuk menghapuskan kemunduran dan kemiskinan, jihad
untuk mendidik dan mengajar umat supaya menjadi umat yang
dinamik, kuat mental dan fizikalnya.
Tetapi
sayangnya pengertian jihad yang sering difahami oleh masyarakat
kita, ditambah pula oleh kempen pihak media Barat yang
sengaja ingin mencemarkan nama baik Islam ialah jihad
yang dihadkan kepada perang sabil atau holy war iaitu
berperang dengan menggunakan senjata yang melibatkan pembunuhan
dan kekerasan, sedangkan jihad dalam pengertian lain tidak
lagi dianggap jihad, dan tidak lagi menjadi cara perjuangan
umat kita.
Dalam
keadaan inilah timbulnya gejala-gejala yang tidak sihat
dalam masyarakat Islam, terutamanya ketika umat Islam
akan berperang jihad sesama Islam seperti yang berlaku
di Teluk. Dan akhir-akhir ini berlaku di antara umat Islam
yang berlainan mazhab dan ideologi politiknya, termasuk
jihad yang dilancarkan oleh penyokong seorang ketua negara
terhadap golongan yang menentang ketua negara mereka,
sedangkan kedua-dua golongan itu adalah terdiri dari sesama
Islam, yang mengucap dua kalimah syahadah dan berdoa serta
menunaikan sembahyang yang sama, dengan bacaan dan kiblat
yang sama. Dalam mempertahankan seorang yang mereka puja
maka masing-masing akan bertindak secara kekerasan terhadap
golongan lain, dan perbuatan ini mereka namakan jihad.
Bagi
saya jihad yang perlu kita laksanakan dalam masyarakat
moden ini haruslah mempunyai strategi bagi memperkuatkan
ilmu pengetahuan, kekuatan ekonomi dan fizikal umat, dan
daya tahan yang kukuh untuk menghadapi segala macam cabaran
dan permusuhan yang kita hadapi.
Para
belia dan pelajar kita seharusnya melipatgandakan usaha
dan kerja mereka berjihad untuk mempertingkatkan pencapaian
dan mutu ilmu pengetahuan agar dapat bersaing dan mengatasi
golongan lain secara sihat. Kemelut kemasukan ke institusi
pengajian tinggi yang melanda masyarakat Islam kini seharusnya
menjadi pendorong untuk kita terus berjihad dalam erti
kata yang sebenar, iaitu mencapai kecemerlangan dalam
segala disiplin ilmu pengetahuan.
Ketika
itu barulah kita dapat berbangga bahawa kita telah menghayati
semangat jihad yang sebenar yang dituntut agama, bukan
jihad dalam bentuk serangan sesama sendiri, sama ada menggunakan
senjata atau lidah yang tidak bertulang.
|