Surah
Al-Fatihah
1.
Dengan nama Allah yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.
2.
Segala puji-pujian terpulang kepada Allah Tuhan yang memelihara
semesta 'alam.
3.
Yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.
4.
Tuhan yang menguasai hari pembalasan.
5.
Hanya Engkau sahaja (Tuhan) yang kami sembah dan hanya
kepada Mu sahaja kami pohon perlolongan.
6.
Tunjukkan kami jalan yang lurus.
7.
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan ni'mat
ke atas mereka bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai
dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat.
Setiap
orang Islam membaca surah yang pendek dan mengandungi
tujuh ayat ini sekurang-kurangnya tujuh belas kali sehari
semalam dan lebih sekali ganda lagi apabila ia menunaikan
solat sunat dan sebanyak-banyaknya tanpa had apabila dia
ingin mengadap Allah dengan solat-solat tambahan selain
dari solat-solat fardu dan solat-solat sunat. Setiap solat
tidak sah tanpa membaca surah ini. Ini berdasarkan keterangan
hadith al-Bukhari dan Muslim dari Rasulullah SAW dari
hadith 'Ubadat bin as-Samit: Sabda Rasulullah SAW:
"Tiada
solat kepada mereka yang tidak membaca Surah al-Fatihah."
Di
dalam surah ini terkandung dasar-dasar 'aqidah dan dasar-dasar
kefahaman Islam, juga dasar-dasar perasaan (terhadap Allah)
dan tawajjuh (berdoa) yang membayangkan sebahagian hikmat
mengapa Surah al-Fatihah dipilih untuk diulang-ulangkan
bacaannya dalam setiap raka'at solat dan hikmat batalnya
setiap solat yang tidak dibacakan Surah al-Fatihah.
Surah
ini dimulakan dengan :
1.
Dengan nama Allah yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.
Walaupun
ada khilaf mengenai 'Bismillahirrahmanirrahim' apakah
ia merupakan satu ayat dalam setiap surah atau ia merupakan
satu ayat al-Qur'an yang dimulakan dengannya ketika membaca
setiap surah, namun menurut pendapat yang arjah (terkuat)
ia adalah satu ayat di dalam Surah al-Fatihah dan dengannya
ia dikirakan tujuh ayat. Dan di sana ada suatu pendapat
yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan firman
Allah 'Azzawajalla:
87.
Sesungguhnya Kami telah kurniakan kepadamu tujuh ayat
dari ayat-ayat yang diulang-ulangkan bacaannya dan al-Qur'anul
'Azim" (Al-Hijr)
ialah
Surah al-Fatihah yang disifatkan sebagai surah yang mempunyai
tujuh ayat dan sebagai "al-Mathani" kerana ia
diulang-ulangkan bacaannya di dalam solat.
Memulakan
sesuatu dengan "nama Allah" itu merupakan satu
adab cara yang diwahyukan oleh Allah kepada RasulNya dalam
ayat pertama yang diturunkan kepada beliau dengan ittifaq
para ulama' iaitu:
1.
"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan"
(Al-'Alaq)
Adab
cara ini amat sesuai dengan dasar kefahaman Islam yang
agung, yang menganggapkan Allah bersifat Maha Awal dan
Maha Akhir, Maha Zahir dan Maha Batin. Allah SWT adalah
Zat yang maujud yang sebenar dan seluruh maujud yang lain
mendapat kewujudan mereka dari kewujudan Allah dan segala
permulaan yang lain adalah berpangkal dari kewujudan Allah,
kerana itu amatlah wajar segala permulaan, segala harakat
atau tindakan dan segala tujuan itu dimulakan dengan nama-Nya.
Allah
SWT sifatkan diri-Nya di permulaan dengan sifat-sifat
ar-Rahman "Maha Penyayang" dan ar-Rahim "Maha
Pengasih" iaitu dua sifat yang mencakup segala pengertian,
kasih sayang dan kasihan belas dan segala keadaannya.
Hanya pada Allah SWT sahaja terkumpul dua sifat ini. Begitu
juga hanya Allah sahaja yang wajar disifatkan dengan ar-Rahman
"Maha Penyayang". Mana-mana hamba Allah boleh
disifatkan dengan sifat ar-Rahim, tetapi tidak boleh disifatkan
dengan sifat ar-Rahman dari segi kepercayaan dan lebih
tidak wajar lagi dikembarkan kedua-dua sifat itu padanya.
Walaupun
terdapat perselisihan pendapat tentang pengertian dua
sifat ini, iaitu manakah di antara kedua-duanya yang mempunyai
pengertian kasih sayang dan kasihan belas yang lebih luas,
namun perselisihan itu bukanlah dari perbahasan yang kita
hendak bicarakan dengan terperinci dalam Tafsir Fi Zilal
ini, malah kita hanya membuat kesimpulan sahaja dari perbahasan
itu bahawa kedua-dua sifat ar-Rahman dan ar-Rahim adalah
meliputi segala pengertian kasih sayang dan kasihan belas
juga meliputi segala keadaan dan bidangnya.
Jika
memulakan sesuatu dengan nama Allah yang mengandungi maksud
mentauhidkan Allah dan beradab sopan dengan-Nya itu merupakan
dasar pokok dalam kefahaman Islam, maka pencakupan segala
pengertian kasih sayang dan kasihan belas dengan segala
keadaan dan bidangnya dalam dua sifat ar-Rahman dan ar-Rahim
itu merupakan dasar yang kedua di dalam kefahaman ini
dan ia juga menggariskan hakikat hubungan yang wujud di
antara Allah dengan para hamba-Nya.
=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-
Setelah
dimulakan dengan nama Allah yang Maha Penyayang dan Maha
Pengasih, maka diiringi pula dengan menghadap Allah serta
mempersembahkan kepada-Nya segala sanjungan dan pujian
dan menyifatkan-Nya sebagai Tuhan yang memegang teraju
Rububiyah yang mutlak terhadap semesta 'alam.
2.
"Segala puji-pujian terpulang kepada Allah Tuhan
yang memelihara semesta 'alam."
Alhamdulillah
adalah perasaan kesyukuran yang melimpah pada hati mu'min
sebaik sahaja ia teringat kepada Allah, kerana kewujudan
dirinya dari mula lagi adalah dari limpah ni'mat kurniaan
Ilahi yang membangkitkan kesyukuran, pujian dan sanjungan,
malah di setiap kelip mata dan detik waktu, dan di setiap
langkah Allah melimpahkan ni'mat dan rahmat-Nya ke atas
seluruh makhluk-Nya terutama manusia, kerana itu mengucap
Alhamdulillah di awal dan di akhir merupakan salah satu
dari dasar-dasar kefahaman Islam secara langsung. (Firman
Allah):
70.
"Dan Dialah Allah, tiada Tuhan yang lain melainkan
Dia, terpulang kepada-Nya seluruh kepujian di awal dan
di akhir." (Al-Qasas)
Namun
demikian, kemurahan dan limpah kurnia Allah ke atas hamba-hamba-Nya
yang mu'min itu adalah sampai ke tahap setinggi-tingginya
apabila hamba itu berkata: "Alhamdulillah",
maka Allah akan tuliskan untuknya satu balasan kebaikan
yang mengatasi segala timbangan neraca yang lain. Tersebut
dalam Sunan Ibn Majah dari Ibn Umar RA bahawa Rasulullah
SAW telah menceritakan kepada mereka; iaitu ada seorang
hamba Allah mengucap kepujian dengan kata:
(Ya
rabbi lakalhamdu kama yam baghi li jala li wajhika wa
'azi mi sulto nik)
"Wahai
Tuhanku! Segala kepujian itu terpulang kepada-Mu, iaitu
kepujian yang layak dengan keagungan zat-Mu dan kebesaran
kuasa-Mu."
Ucapan
ini telah menyulitkan dua Malaikat pencatat amalan, kedua-duanya
tidak tahu bagaimana hendak menulis pahalanya lalu kedua-dua
Malaikat itu menghadap Allah dan berkata kepada-Nya: "Ada
seorang hamba mengucapkan pujian yang kami tidak mengetahui
bagaimana hendak menulis balasannya?" Firman Allah:
(Sedangkan Dia lebih mengetahui apa yang telah diucapkan
hamba-Nya itu) "Apakah pujian yang telah diucapkan
oleh hamba Ku itu?" Jawab kedua-dua Malaikat itu
dia berkata: "Wahai Tuhanku segala kepujian itu terpulang
kepada Mu, iaitu kepujian yang layak dengan keagungan
zat-Mu dan kebesaran kuasa-Mu." Firman Allah kepada
kedua-duanya: "Tulislah ucapan itu sebagaimana yang
diucapkan oleh hamba Ku sehingga ia menemui Aku dan Akulah
sendiri akan membalaskannya."
=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-
Menghadap
Allah dengan mengemukakan sanjungan dan kepujian menggambarkan
perasaan mu'min yang terharu sebaik sahaja ia teringat
kepada Allah sebagaimana telah kami terangkan sebelum
ini. Adapun bahagian akhir ayat:
2.
"... Tuhan yang memelihara semesta 'alam,"
adalah
menjadi dasar kefahaman atau kepercayaan Islam kerana
sifat Rububiyah yang mutlak dan menyeluruh itu merupakan
salah satu daripada dasar-dasar 'aqidah Islam. Kata-kata
"Rabb" bererti pemelihara, penguasa, pentadbir
dan pengurus yang memelihara urusan islah dan kerja-kerja
tarbiyah dan pengasuhan terhadap seluruh makhluk-Nya.
Allah
tidak menciptakan 'alam kemudian membiarkannya begitu
sahaja, malah Dia memperelok, menjaga, memelihara dan
mengasuhnya, kerana itu hubungan di antara Allah dengan
makhluk sentiasa berterusan pada setiap waktu dan keadaan.
Konsep
Rububiyah Allah yang mutlak terhadap seluruh makhluk-Nya
merupakan persimpangan jalan yang memisahkan di antara
'aqidah tauhid yang jelas dan sempurna dengan 'aqidah
yang kabur yang terjadi akibat dari ketidakjelasan dan
ketidaktegasan hakikat tauhid ini. Ramai manusia yang
mengakui Allah sebagai Tuhan Pencipta 'alam, tetapi di
samping itu mereka mempercayai berbagai-bagai tuhan yang
lain yang menguasai kehidupan mereka. Kepercayaan yang
seperti ini nampak jelas anih dan lucu, tetapi itulah
yang telah berlaku dan sedang berlaku. Al-Qur'an telah
menceritakan tentang perkataan sekumpulan kaum Musyrikin
yang menyembah bermacam-macam tuhan itu.
3.
"Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka
mendampingkan kami lebik dekat kepada Allah." (AZ-Zumar)
Al-Qur'an
juga telah menceritakan tentang sekumpulan Ahlil Kitab.
31.
"Mereka mengambil ulama'-ulama' dan paderi-paderi
mereka selaku tuhan-tuhan yang lain dari Allah."
(At-Taubah)
'Aqidah-'aqidah
Jahiliyah yang tegak di merata negeri semasa kedatangan
Islam adalah penuh dengan kepercayaan kepada berbagai-bagai
tuhan yang disifatkan sebagai tuhan-tuhan kecil di samping
tuhan yang agung mengikut sangkaan mereka.
Konsep
Rububiyah yang mutlak yang meliputi seluruh 'alam yang
terkandung di dalam surah ini merupakan persimpangan jalan
yang memisahkan di antara 'aqidah yang tersusun rapi dengan
'aqidah yang kacau-bilau. Konsep ini bertujuan supaya
seluruh 'alam bertawajjuh kepada Allah yang Tunggal yang
Berkuasa Penuh dan menolak semua tuhan yang lain, juga
menghapuskan kebingungan bertawajjuh kepada bermacam-macam
tuhan itu dan seterusnya supaya hati seluruh 'alam tenang
dan tenteram kepada naungan dan Rububiyah Allah yang kekal
dan pemeliharaan-Nya yang tidak pernah putus dan tak kunjung
hilang, bukannya seperti pendapat Aristotle -- yang dianggap
sebagal setinggi-tinggi kefahaman falsafah -- yang mengatakan
bahawa Allah telah menciptakan 'alam kemudian Ia tidak
memperdulikannya dengan alasan kerana martabat Allah itu
begitu tinggi dan tidak wajar untuk memikirkan sesuatu
yang rendah dari-Nya dan kerana Allah hanya memikirkan
tentang Zat-Nya sahaja: Aristotle yang mengeluarkan pendapat
ini merupakan ahli faisafah yang paling besar dan akalnya
merupakan akal manusia yang paling tinggi.
Islam
datang ketika dunia dipenuhi dengan timbunan 'aqidah,
pemikiran, dongeng, pendapat falsafah, kepercayaan yang
karut-marut, yang bercampur aduk di antara yang benar
dengan yang batil, yang betul dengan yang palsu, agama
dengan khurafat, falsafah dengan dongeng, dan hati nurani
manusia pada waktu itu meraba-raba dalam gelap gelita
dan dalam sangka-sangkaan tanpa berpijak pada suatu keyakinan.
Padang
gurun yang tidak mempunyai sebarang kemantapan, sebarang
keyakinan dan sebarang nur itulah yang (menjadi latar
belakang) yang melingkungi kefahaman dan pemikiran manusia
terhadap Allah, sifat-sifat-Nya, hubungan-Nya dengan para
makhluk-Nya terutama hubungan antara Allah dengan manusia.
Oleh
sebab itu hati nurani manusia tidak berupaya memperoleh
satu pegangan yang kukuh mengenai persoalan 'alam ini,
persoalan diri mereka sendiri dan persoalan sistem hidup
mereka sebelum mereka memperoleh pegangan yang kukuh mengenai
persoalan 'aqidah mereka, persoalan kefahaman terhadap
Tuhan mereka dan sifat-sifat-Nya dan sebelum mereka mendapat
satu keyakinan yang jelas dan lurus di tengah gumpalan
awan mendung, di tengah-tengah padang gurun dan di tengah-tengah
timbunan sampah-sarap kepercayaan yang karut itu.
Seorang
manusia itu tidak dapat memahami betapa perlunya kemantapan
ini sehingga ia mengetahui betapa besarnya timbunan sampah
kepercayaan yang karut itu dan sehingga ia memeriksa padang
gurun yang penuh dengan berbagai-bagai 'aqidah, berbagai-bagai
kefahaman, berbagai-bagai dongeng, berbagai-bagai pendapat
falsafah, berbagai-bagai tanggapan yang karut dan berbagai-bagai
fikiran yang kacau yang mencemari dan mempengaruhi hati
nurani manusia. Inilah keadaan yang didapati oleh Islam
ketika ia datang. Apa yang kami sebut secara sepintas
lalu mengenai kepercayaan-kepercayaan ini hanya satu bahagian
yang kecil sahaja. (Dalam pentafsiran surah-surah al-Qur'an
kelak akan dibentangkan berbagai-bagai bentuk kepercayaan
itu yang diolahkan oleh al-Qur'an dengan pengolahan yang
lengkap dan sempurna).
Oleh
sebab itulah perhatian pertama Islam adalah lebih dahulu
ditujukan kepada usaha membersihkan bidang 'aqidah ketuhanan,
menetapkan kefahaman yang meyakinkan hati nurani mengenai
persoalan Allah dan sifat-sifat-Nya dengan para makhluk-Nya
dan hubungan para makhluk dengan-Nya secara tegas dan
yakin.
Oleh
sebab itulah kepercayaan Tauhid yang sempurna, tulen,
bersih dan menyeluruh, tidak bercampur dengan sesuatu
yang asing sama ada dari dekat atau dari jauh merupakan
tapak tegak kefahaman dan kepercayaan yang dibawa oleh
Islam, dan Islam terus berusaha membersihkan kepercayaan
ini dalam hati nurani manusia dan memeriksa setiap fikiran
yang kotor di sekitar hakikat Tauhid itu supaya ia bersih
dari segala kekeliruan dan kesamaran dan supaya tetap
teguh tanpa dimasuki tanggapan yang karut baik dari apa-apa
bentuk sekalipun. Demikianlah Islam memberi kata pemutus
yang begitu jelas dan terang mengenai sifat-sifat Allah
terutama sifat-sifat yang ada hubungan dengan sifat Rububiyah
yang mutlak. Kebanyakan timbunan sampah-sarap kepercayaan
yang wujud di padang gurun itu ialah sampah pendapat-pendapat
falsafah dan 'aqidah-'aqidah yang simpang-siur, tanggapan-tanggapan
yang kacau dan dongeng-dongeng yang karut tentang persoalan
sifat-sifat ketuhanan yang amat penting ini, iaitu persoalan
yang mempunyai kesan yang amat besar dalam hati nurani
manusia dan budipekerti mereka.
Sesiapa
yang mengkaji usaha-usaha yang berterusan yang telah dilakukan
oleh Islam untuk menegakkan kata pemutus mengenal Zat
Allah, sifat-sifat-Nya dan hubungan-Nya dengan para makhluk-Nya.
iaitu usaha-usaha dalam bentuk penerangan nas-nas al-Qur'an
yang begitu banyak tanpa mengkaji timbunan sampah-sarap
(kepercayaan karut) yang berat yang wujud di padang gurun
yang amat luas, di mana sesatnya umat manusia itu mungkin
tidak dapat memahami sejauh mana ia memerlukan kepada
penerangan al-Qur'an yang berulang-ulang itu dan kepada
pemeriksaan yang begitu teliti di segala lorong dan pintu
hati nurani itu. Tetapi dengan mengkaji timbunan sampah
sarap itu dapatlah diketahui betapa perlunya usaha-usaha
yang berterusan itu dan betapa besarnya peranan yang dilakukan
oleh 'aqidah Islam untuk membebaskan hati nurani manusia
dari kepenatan meraba-raba dan terumbang-ambing di antara
berbagai-bagai tuhan palsu, kepercayaan-kepercayaan dan
dongeng-dongeng yang karut-marut.
Keindahan,
kesempurnaan dan keseimbangan 'aqidah Islam dan kemudahan
hakikat Tauhid yang agung yang didokong oleh Islam itu
tidak terserlah kepada hati dan akal manusia seterang
yang terserlah kepadanya setelah ia lebih dahulu mengkaji
dan menyelidiki timbunan sampah-sarap Jahiliyah dari berbagai-bagai
'aqidah, kepercayaan, dongeng dan falsafah terutama yang
memperkatakan tentang hakikat ketuhanan dan hubungannya
dengan 'alam. Ketika inilah 'aqidah Islam benar-benar
merupakan rahmat yang haqiqi kepada hati dan akal, iaitu
satu rahmat yang mengandungi keindahan dan kemudahan,
kejelasan dan keseimbangan, kehampiran, kemesraan, dan
keserasian secara langsung yang mendalam dengan fitrah
manusia.
=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-
3.
"Yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih."
Kedua-dua
sifat yang meliputi segala pengertian kasihan belas dan
kasih sayang dalam segala keadaan dan bidangnya ini diulangi
sekali lagi di tengah-tengah ayat untuk menonjolkan lagi
ciri yang jelas dari konsep Rububiyah Allah yang sempurna
dan untuk menegakkan asas-asas hubungan yang kekal di
antara Allah dengan makhluk-makhluk-Nya iaitu hubungan
kasih sayang dan belas kasihan yang merangsangkan kesyukuran
dan sanjungan, hubungan yang ditegakkan di atas rasa ketenteraman
dan kemesraan. Oleh sebab itulah kesyukuran dan sanjungan
itu merupakan sambutan semulajadi terhadap rahmat kasih
sayang dan belas kasihan yang lemah-lembut itu.
Tuhan
yang disembah dalam Islam tidak memburu para hamba-Nya
seperti musuh memburu musuh sebagaimana yang dilakukan
oleh tuhan-tuhan atau dewa-dewa Olympus (tempat kediaman
tuhan-tuhan) pada saat-saat mereka dilanda keinginan dan
kemarahan seperti yang digambarkan oleh dongeng-dongeng
Greek. Tuhan dalam Islam tidak merancangkan tipu daya
membalas dendam terhadap para hamba-Nya seperti yang didakwa
oleh dongeng-dongeng yang dipalsukan dalam Perjanjian
Lama (Taurat) sebagaimana diceritakan di dalam dongeng
Babel bab dua belas Sifrut Takwin (Bahagian Penciptaan).
4.
"Yang menguasai hari pembalasan."
Ini
merupakan 'aqidah pokok yang amat besar dan mempunyai
kesan yang amat mendalam dalam seluruh hidup manusia,
iaitu 'aqidah pokok mempercayai hari Akhirat. Kata-kata
"yang menguasai atau penguasa" membayangkan
darjah kuasa yang paling tinggi. "Hari Pembalasan"
ialah hari penentuan balasan di Akhirat. Ramai orang yang
percaya kepada Uluhiyah Allah dan percaya bahawa Allahlah
yang menciptakan 'alam buana ini bagi pertama kali, namun
demikian mereka tidak percaya kepada Hari Balasan. Keperihalan
setengah-setengah mereka telah diceritakan oleh al-Qur'an.
38.
"Dan jika Engkau bertanya mereka: "Siapakah
yang telah menciptakan langit dan bumi, nescaya mereka
menjawab: "Allah". (Az-Zumar)
Kemudian
dalam surah yang lain al-Qur'an menceritakan hal mereka:
2-3.
"Bahkan mereka hairan kerana mereka telah didatangi
seorang Rasul yang memberi peringatan dari kalangan mereka
sendiri, lalu berkatalah orang-orang kafir: "Ini
adalah suatu perkara yang amat aneh. "Apakah setelah
kami mati dan menjadi tanah (kami akan dihidupkan kembali)?
Itu adalah suatu perkembalian yang amat jauh." (Surah
Qaf)
Kepercayaan
terhadap Hari Balasan merupakan satu lagi 'aqidah pokok
di dalam Islam. Nilai kepercayaan ini ialah ia meletakkan
pandangan dan hati manusia pada sebuah 'alam yang lain
setelah tamatnya 'alam bumi supaya mereka tidak begitu
terkongkong kepada keperluan keperluan bumi sahaja dan
ketika itu mereka tidak lagi terpengaruh kepada keperluan-keperluan
bumi, juga supaya mereka tidak begitu gelisah untuk mendapatkan
balasan dan ganjaran dari hasil usaha mereka dalam usia
mereka yang pendek dan di 'alam bumi yang terbatas ini
dan ketika itu barulah mereka dapat berbuat amalan-amalan
semata-mata kerana Allah dan sanggup menunggu ganjarannya
mengikut bagaimana yang ditentukan Allah sama ada di 'alam
bumi ini atau 'alam Akhirat. Mereka sanggup menunggu dengan
tenang dan yakin terhadap balasan yang baik itu serta
berpegang teguh dengan kebenaran, mereka sanggup menunggu
dengan selesa, lapang dada dan penuh kepercayaan, kerana
itu kepercayaan kepada Hari Balasan merupakan persimpangan
jalan yang memisahkan di antara perhambaan kepada keinginan-keinginan
hawa nafsu dengan kebebasan insaniyah yang layak dengan
kejadian makhluk manusia, persimpangan jalan yang memisahkan
di antara tunduk kepada kefahaman-kefahaman bumi, nilai-nilainya
dan ukuran-ukurannya dengan tunduk dan berpegang kepada
nilai-nilai Rabbaniyah dan tidak tunduk kepada logik Jahiliyah.
Seterusnya ia merupakan persimpangan jalan di antara insaniyah
dalam bentuk hakikatnya yang unggul sebagaimana yang dikehendaki
Allah kepada para hamba-Nya dengan insaniyah dalam bentuk-bentuknya
yang buruk, menyeleweng dan tidak sempurna.
Kehidupan
manusia tidak akan bergerak lurus di atas jalan Allah
yang luhur selagi kepercayaan pokok kepada Hari Balasan
ini tidak wujud dalam pemikiran mereka, selagi hati mereka
tidak yakin bahawa ganjaran dan balasan di 'alam bumi
ini bukanlah ganjaran mereka yang terakhir dan selagi
mereka yang mempunyai usia yang terbatas itu tidak percaya
bahawa di sana ada sebuah 'alam hidup Akhirat yang patut
mereka berjuang dan berusaha untuknya dan patut berkorban
untuk menbantu kebenaran dan mendokong kebaikan dengan
kepercayaan akan mendapat balasan dan ganjaran Akhirat
itu.
Orang-orang
yang beriman kepada 'alam Akhirat dan orang-orang yang
engkar akan hari Akhirat tidak mempunyai titik-titik persamaan
dari segi perasaan, akhlak, kelakuan dan amalannya. Mereka
merupakan dua golongan manusia yang berbeza. Mereka tidak
bertemu di bumi dan tidak bertemu di Akhirat. Inilah persimpangan
jalan.
=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-
5.
"Hanya Engkau sahaja Tuhan yang kami sembah dan hanya
kepada Engkau sahaja kami pohon pertolongan."
Ini
satu lagi 'aqidah pokok yang lahir dari 'aqidah-'aqidah
pokok yang lepas yang telah diterangkan dalam surah ini,
iaitu 'aqidah tiada 'ibadat melainkan untuk Allah dan
tiada permohonan pertolongan melainkan kepada Allah.
Di
sini juga satu lagi persimpangan jalan, iaitu persimpangan
jalan yang memisahkan di antara kebebasan mutlak dari
seluruh bentuk perhambaan dengan perhambaan mutlak kepada
sesama manusia.
'Aqidah
ini merupakan sebuah perisytiharan hari keputeraan kebebasan
manusia yang mutlak dari perhambaan kepada kepercayaan-kepercayaan
yang karut-marut dan dari perhambaan kepada peraturan-peraturan
dan undang-undang yang diciptakan manusia. Andainya Allah
itu sahaja Tuhan yang disembah dan dipohon pertolongan
maka selama itulah hati manusia bebas dari perhambaan
kepada peraturan-peraturan dan undang-undang ciptaan manusia
dan dari perhambaan kepada tokoh-tokoh sebagaimana ia
bebas dari perhambaan kepada dongeng-dongeng dan kepercayaan-kepercayaan
yang karut-marut.
Di
sini diterangkan sikap orang Muslim terhadap kuasa-kuasa
manusia dan kuasa-kuasa 'alam (tabi'i).
Bagi
seseorang Muslim kuasa-kuasa manusia itu terbahagi kepada
dua jenis: Satu kuasa yang mendapat hidayah, yang beriman
kepada Allah dan yang menurut jalan Allah, kuasa inilah
yang harus disokong olehnya dan diberi kerjasama untuk
menegakkan kebajikan, kebenaran dan kebaikan. Satu lagi
kuasa ialah kuasa yang sesat yang tidak mempunyai hubungan
dengan Allah dan tidak mengikut jalan-Nya. Kuasa inilah
yang harus diperangi, ditentang dan dicemburui olehnya.
Seorang Muslim tidak harus gentar kepada kuasa-kuasa yang
sesat itu sama ada besar atau zalim, kerana kuasa yang
sesat dan terputus dari kekuatan Allah tiada lagi mempunyai
kekuatan yang haqiqi, ia telah kehilangan makanan tetapnya
yang dapat memelihara tenaga kekuatannya. Ia adalah sama
seperti nasib serpihan-serpihan dari sebuah bintang yang
bernyala, iaitu ia hanya sebentar sahaja bernyala, kemudian
ia beransur-ansur malap, mendingin dan terus padam biarpun
bagaimana besar saiz serpihan-serpihan itu, tetapi sebiji
atom yang kecil yang berhubung dengan sumbernya yang memancarkan
sinar itu tetap kekal kekuatannya, kepanasannya dan cahayanya.
249.
"Berapa banyak kumpulan yang sedikit telah mengalahkan
kumpulan yang ramai dengan izin Allah?" (Al-Baqarah)
Yakni
mereka dapat mengalahkan kumpulan yang ramai itu dengan
sebab mereka mempunyai hubungan dengan Allah selaku sumber
kekuatan yang pertama dan kerana mereka mengambil kekuatan
mereka dari Allah satu-satunya sumber seluruh kekuatan
dan kemuliaan.
Sikap
seseorang Muslim terhadap kuasa-kuasa 'alam pula ialah
sikap beramah-tamah dan bersahabat bukan sikap takut-takut
dan bermusuh, kerana kekuatan manusia dan kekuatan 'alam
adalah terbit dari kehendak iradat Allah belaka dan kedua-duanya
dikendalikan oleh kehendak iradat Allah, kedua-duanya
berlangsung seimbang dan saling membantu dalam pergerakan
dan tujuan.
'Aqidah
seseorang Muslim menyarankan bahawa Allah telah menciptakan
kuasa-kuasa 'alam itu untuk menjadi sahabat dan teman
pembantu yang boleh bekerjasama dan untuk menjalinkan
persahabatan itu ia harus mengkaji, mengenalpasti dan
bekerjasama dengannya serta bersama-sama bertawajjuh kepada
Allah selaku Tuhannya dan Tuhan kuasa-kuasa itu. Dan andainya
kuasa-kuasa itu kadang-kadang mendatangkan kemerbahayaan
kepada manusia, maka itu hanya merupakan akibat dari sikap
manusia yang tidak mengkajinya dengan teliti dan tidak
mempunyai pengetahuan yang cukup tentang undang-undang
perjalanannya.
Biasanya
orang-orang Barat yang mewarisi kepercayaan Jahiliyah
Roman menggunakan ungkapan "menakluk 'alam"
untuk menyatakan sesuatu kejayaan mempergunakan kuasa-kuasa
'alam. Ungkapan ini jelas menggambarkan satu pandangan
Jahihyah yang putus hubungan dengan Allah dan dengan roh
'alam buana yang patuh kepada Allah, sedangkan seseorang
Muslim yang mempunyai hubungan yang baik dengan Allah
Tuhannya yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih, juga mempunyai
hubungan yang mesra dengan roh 'alam buana yang bertasbih
kepada Allah Tuhan yang memelihara semesta 'alam adalah
tetap beranggapan bahawa di sana ada lagi hubungan yang
lain dari hubungan menakluk yang kasar itu. Ia beranggapan
bahawa Allah itulah Pencipta seluruh kuasa-kuasa 'alam
itu, Allah menciptakan kuasa-kuasa itu mengikut satu peraturan
yang sama supaya manusia dapat bekerjasama dengan-Nya
untuk mencapai matlamat-matlamat yang telah ditentukan
kepadanya mengikut peraturan itu. Sejak dari awal kuasa-kuasa
itu telah diciptakan Allah supaya dapat digunakan oleh
manusia, kerana itu Allah memberi kemudahan-kemudahan
kepada mereka untuk menemui rahsia-rahsia kuasa itu dan
mengenalpastikan peraturan-peraturannya. Oleh sebab itu
manusia harus bersyukur kepada Allah apabila ia berjaya
mendapat pertolongan dari mana-mana kuasa itu kerana Allahlah
yang menundukkan kuasa-kuasa itu untuk digunakan mereka
dan bukan mereka yang dapat menaklukinya. Firman Allah
'Azzawajalla:
29.
"Dialah yang menciptakan untuk kamu segala apa yang
ada di bumi." (Al-Baqarah)
Dengan
sikap sedemikian hati seorang Muslim tidak akan dipenuhi
dengan anggapan-anggapan yang salah terhadap kuasa-kuasa
'alam dan tidak akan timbul perasaan-perasaan cemas dan
takut terhadap kuasa-kuasa itu. Ia hanya beriman, menyembah
dan memohon pertolongan kepada Allah yang Tunggal sahaja,
kerana kuasa-kuasa 'alam itu adalah dari ciptaan Allah
belaka. Ia mengkaji dan mempelajari rahsia-rahsia kuasa
'alam dan dari kajiannya itulah ia mendapat pertolongan
dari kuasa-kuasa itu dan mengetahui rahsia-rahsianya dan
membolehkannya hidup bersama-sama kuasa-kuasa itu di sebuah
'alam yang mesra dan dalam hubungan persahabatan yang
baik. Alangkah indahnya sabda Rasulullah SAW ketika beliau
merenung Bukit Uhud:
"Bukit
ini sayang kepada kita dan kita juga sayang kepadanya."
Dalam
kata-kata ini terbayang segala perasaan kasih mesra yang
tersemat di dalam hati Muslim yang utama Muhammad SAW
yang terjalin di antaranya dengan kejadian-kejadian 'alam
di ruangnya yang besar dan kasar.
=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-
Setelah
menjelaskan dasar-dasar 'aqidah yang asasi dalam kefahaman
Islam dan menjelaskan konsep tawajjuh kepada Allah yang
Tunggal, iaitu konsep yang menentukan segala 'ibadat dan
memohon pertolongan kepada Allah yang Tunggal sahaja,
maka ayat yang berikut menjelaskan pula cara 'amali untuk
bertawajjuh dengan berdoa kepada Allah dalam bentuknya
yang umum sesuai dengan suasana dan sifat surah ini.
6.
"Tunjukkan kami jalan yang lurus."
Maksudnya
kurniakan Taufik kepada kami untuk mengenalpasti jalan
yang lurus dan selepas mengenalinya kurniakanlah pula
Taufik kepada kami untuk mengikut jalan yang lurus itu
dengan penuh kejujuran.
Mengenal
dan berjalan di atas jalan yang lurus itu merupakan hasil
dari hidayah, pemeliharaan dan rahmat Allah. Bertawajjuh
kepada Allah dengan berdoa merupakan hasil dari kepercayaan
bahawa Allah itulah satu-satunya Tuhan yang berkuasa memberi
pertolongan.
Hidayah
inilah merupakan perkara yang paling penting bagi seseorang
mu'min. Ia merupakan perkara utama yang harus dipinta
pertolongan Allah untuk mencapaikannya. Mendapat Hidayah
ke jalan lurus itulah jaminan kebahagiaan hidup di dunia
dan Akhirat. Hidayah ke jalan yang lurus pada hakikatnya
ialah Hidayah untuk memimpin fitrah manusia kepada undang-undang
Allah yang mengatur dan memperseimbangankan di antara
harakat manusia dengan harakat 'alam al-wujud seluruhnya
menuju kepada Allah Tuhan Semesta 'Alam.
Ayat
yang berikut menjelaskan sifat jalan yang lurus itu:
7.
"Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan
ni'mat ke atas mereka, bukan jalan orang-orang yang Engkau
murkai dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat"
Yakni
jalan orang-orang yang Allah kurniakan ni'mat-Nya kepada
mereka bukan jalan orang-orang yang dimurkai-Nya, iaitu
mereka yang mengenal jalan yang benar, kemudian mereka
menyimpang darinya atau mereka yang sesat terus dari mula-mula
lagi dari jalan yang benar. Jalan yang lurus ialah jalan
orang-orang yang berbahagia, yang mendapat hidayah dan
sampai kepada Allah.
Di
samping itu, inilah surah yang dipilih untuk dibaca berulang-ulang
kali dalam setiap solat dan mana-mana solat tidak sah
tanpa membacanya. Walaupun surah ini pendek namun ia mengandungi
dasar-dasar 'aqidah yang asasi dalam kefahaman Islam dan
mengandungi tawajjuh atau doa-doa kepada Allah secara
sedar yang terbit dari kefahaman itu.
Tersebut
dalam Sohih Muslim dari hadith al-'Ala' ibn Abdur Rahman
Maula al-Harqah dari bapanya Abu Hurairah dari Rasulullah
SAW:
Firman
Allah Ta'ala: "Aku telah membahagikan solat (al-Fatihah)
kepada dua bahagian, separuhnya untuk-Ku dan separuh lagi
untuk hamba-Ku dan untuk hamba-Ku apa sahaja yang dipohonkan
kepada-Ku," apabila hamba-Ku berkata: (alhamdulillahirabbil'alamin)
Allah menjawab: "Hamba-Ku telah memuji-Ku" apabila
hamba itu berkata: (arrahmanirrahim) Allah menjawab: Hamba-Ku
telah memberi sanjungan kepada-Ku:" apabila hamba
itu berkata: (malikiyaumiddin) Allah menjawab: "Hamba-Ku
telah mengagung-agungkan-Ku dan apabila hamba itu berkata:
(iyakana'buduwaiya kanasta'in) Allah menjawab: "Ini
di antara hamba-Ku dengan Aku dan untuk hamba-Ku apa sahaja
yang dipohonkan kepada-Ku," apabila hamba itu berkata:
(ihdinassira tal mustaqim siratallazi naan 'am ta 'alaihim
ghairil maghdu bi 'alaihim waladdha lin) Allah menjawab:
"Ini untuk hamba-Ku dan untuk hamba-Ku apa sahaja
yang dipohonkan kepada-Ku."
Setelah
maksud ayat-ayat itu dihuraikan dengan jelas ternyatalah
kepada kita bahawa hadith yang sohih ini telah mendedahkan
salah satu daripada rahsia-rahsia (kebesaran) surah al-Fatihah
ini yang dipilih sebagai surah yang dibaca oleh setiap
Muslim sebanyak tujuh belas kali sehari semalam atau sebanyak
mana yang disukainya apabila ia berdoa kepada Allah di
dalam solat.
|