Adat bersanding dalam Perspektif Islam ...
Tarikh:
10/19/2002
saya ingin bertanya mengenai adat bersanding dalam perspektif
islam? Jawapan:
1. Definisi Persandingan: meletakkan suami-isteri yang
baru dinikahkan di atas penganjangan (pelamin) dengan
berhias indah, berpakaian lengkap, dikipas oleh dua jurukipas
dan ditonton oleh orang ramai atau orang tertentu sahaja.
2. Tujuan: antara tujuan utama persandingan ialah untuk
ditonton, menjadi kenangan bersejarah, meraikan peluang
seumur hidup dan menghayati adat dan budaya nenek moyang.
3. Sejarah: ada dua teori dalam menjelaskan dari mana
asalnya persandingan dalam adat Melayu.
Pertama: bahawa persandingan adalah adat resam Melayu
tulen. Ini kerana istilah raja sehari itu persis kepada
adat istiadat Melayu yang berpaksikan raja (HM Sidin,
Adat Resam Melayu, PAP, 1964)
Kedua: Persandingan adalah adat yang diimport dari India.
De Jong (Religions in the Malay Archipelago, Oxford Univ.
press, 1965) dan Joginder Singh (Tata Rakyat, Longman,
1978) berpendapat ia adalah pengaruh Hindu.
4. Unsur-unsur khurafat dalam persandingan:
(a)
Penggunaan beras kunyit pada upacara persandingan ialah
bertujuan memberi semangat kepada pengantin berdasarkan
kekuningan semangat padi.
(b) Penggunaan jampi mentera untuk menghalau hantu syaitan
yang mungkin mengganggu majlis itu. Hukum Islam Terhadap
Persandingan :
1. Menabur Beras Kunyit: Jika ia ditabur dengan tujuan
menambah semangat dan menghalau roh jahat, maka ia adalah
syirik--bercanggah dengan surah al-Fatihah: ayat 5, dan
Yunus: 107.
2. Membaca Jampi Mentera: Jika beriktikad bomoh atau pawang
itu membaca jampi-mentera dengan tujuan dapat memelihara
majlis itu daripada roh jahat, maka dia juga amalan syirik
seperti yang dijelaskan di atas.
3. Berandam: Perbuatan andaman yang berbentuk "li
tadlis" mengabui/merubah kecantikan yang sebenar
adalah haram. Antaranya yang disebut oleh al-hadis: HR
Muslim-Muslim dari Abdullah Ibn Mas'ud: "Allah melaknat
wanita yang mencucuk tangan dan menaruh warna (tattoo)
dan yang meminta berbuat demikian; wanita-wanita yang
menghilangkan bulu kening di muka*, wanita yang mengikir
gigi dan menjarangkannya supaya kelihatan cantik yang
merubah kejadian Allah." (* pengecualian: membuang
bulu yang berupa janggut atau misai atau side-burn.)
4. Berhias untuk dipamerkan (tabarruj): Berhias dengan
tujuan untuk dipamerkan kepada orang ramai adalah dilarang.
Firman Allah (maksudnya), "Janganlah kamu bertabarruj
seperti kelakuan orang zaman jahiliah dahulu." (Al-Ahzab:
33)
5. Mengadakan kenduri walimah secara besar-besaran: Hukum
sebenar kenduri kahwin ialah sunat sahaja sebagaimana
sabda baginda: "Adakanlah kenduri kahwin walaupun
hanya dengan seekor kambing." Islam mencela amalan
boros: "Janganlah kamu membazir secara melampau."
(Maksud al-Isra': 26)
6. Menjadikan hadiah atau pemberian wang sebagai satu
kemestian: Ini berlawanan dengan roh Islam Firman Allah,"
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya
olehnya." (2: 286)
7. Mas kahwin dan hantaran yang mahal: Inilah adalah sunah
Rasul saw: "Wanita yang paling berkat ialah wanita
yang paling murah hantarannya." (HR Ahmad, al-Hakim
dan Baihaqi) Demi meraikan adat: Islam membenarkan persandingan
dengan meletakkan syarat:
1. Jika ia disandingkan secara tertutup (di hadapan muhrim
atau keluarga terdekat) dan kanak-kanak yang belum mengerti
tentang aurat.
2. Jika ingin melakukan secara terbuka diharuskan jika
bertujuan iklan dan memperkenalkan mempelai kepada para
jemputan dan kaum keluarga dengan syarat kesemua pihak
baik pengantin dan para jemputan semua menutup aurat kecuali
perhiasan yang biasa dilihat.
Rujukan 1. Prof Muhammad al-Ghazali, Laisa minal Islam.
2. Ibn Taymiyah, Hijab al Mar'ah wa Libasuha. 3. Prof
Qardhawi, Fatwa Mu'asirat dan Halal & Haram fil Islam.
Sumber: Tuan Hassan Tuan Lah, "Bersanding dalam Pandangan
Islam".
|