Bersedia menghadapi kematian...


Adab menziarahi orang sakit

* Menziarahi orang sakit hukumnya sunat muakkad menurut jumhur ulama
sedangkan menurut Imam Bukhari, hukumnya wajib. Rasulullah s.a.w amat
menyukai amalan ini dan ini dapat dilihat melalui banyak Hadis. Harus juga
menziarahi pesakit tanpa mengira kaum dan agama.
* Disunatkan meletakkan tangan di tempat yang sakit sambil membaca
'Bismillah...' dan mendoakan si sakit supaya cepat sembuh dan umurnya
panjang.
* Jangan menyebut penyakit orang lain yang sama seperti penyakitnya hingga
menyebabkan kematian orang itu kerana ini akan menyakitkan hati pesakit.
* Bawalah buah tangah untuk menghiburkan hati pesakit
* Sesuaikan wantu berziarah. Jangan berziarah setiap hari (kecuali pesakit
menghendaki demikian) tetapi seelok-eloknya berselang hari
* Zahirkan rasa simpati terhadap pesakit dan cuba hiburkan hatinya
* Tidak perlu duduk terlalu lama ketika berziarah kerana ini mungkin
menyusahkan pesakit yang ingin berehat
* Nasihatkan dia supaya bersabar


Adab menziarahi orang sakit tenat (Islam)

* Sunat membaca surah Yasin di samping orang yang sedang tenat untuk
meringankannya sesuai dengan hadis riwayat Ma'qal bin Yasar, katanya:
"Rasulullah s.a.w. bersabda: "Yasin adalah jantung al-Quran. Seseorang yang
membacanya kerana mengharap rahmat Allah dan negeri akhirat, maka diampuni
dosanya. Oleh itu bacakanlah ia kepada mayat kamu." (Yang dimaksudkan dengan
'mayat kamu' di sini ialah orang yang hampir mati kerana hukumnya sudah sama
dengan orang yang sudah mati).
* Elakkan daripada berbuat bising
* Waris hendaklah sentiasa berada di sisi pesakit
* Sunat ditalqinkan dengan kalimah "La ila ha illallah" ke telinganya dengan
lembut. Jangan terlalu sering diulang-ulang (maksudnya, jangan disebut
bertubi-tubi supaya dia tidak menolaknya kerana bosan) selama dia tidak
menyebut perkataan lain (jika dia mengucapkan perkataan lain selepas
mengucap kalimah syahadah, ajarkan lagi supaya kalimah itu yang terakhir
diucapkannya sebelum meninggal dunia, supaya dia lepas daripada neraka. Ini
disebut dalam hadis yang diriwayatkan daripada Kasir bin Marrah, daripada
Muaz bin Jabal, katanya: Nabi s.a.w. bersabda: "sesiapa yang akhir
perkataanya kalimat La ila ha illallah, akan masuk syurga."
Tak perlulah memaksa orang yang sedang nazak itu mengucapkan kalimah
tersebut secara penuh. Jika dia hanya sekadar menyebut "Allah" pun sudah
memadai.
*Disunatkan agar pesakit yang sedang nazak itu dibaringkan dengan
memiringkan ke kanan dan menghadapkan mukanya ke arah kiblat. tetapi jika
sukar untuk melakukannya, hadapkan sahaja mukanya ke kiblat dengan
meninggikan kepalanya dengan bantal.
* Disunatkan agar mengingatkan kepadanya supaya berbaik sangka dengan Allah
dan mengharapkan pengampunanNya serta berdoa agar dimatikan dalam keadaan
beriman kepada Allah swt.
* Titiskan air ke tekaknya sedikit demi sedikit (jangan sampai tersedak)
atau basahkan bibirnya dengan air (kalau dia sudah tidak boleh menelan air
lagi). Ini kerana ada riwayat mengatakan bahawa orang yang sedang menghadapi
sakaratul maut itu mengalami kehausan yang amat sangat, seolah-olah air satu
lautan pun tidak dapat melegakan dahaganya. Dan pada ketika inilah dikatakan
iblis datang menggoda si sakit dengan membawa air tetapi mensyaratkan si
sakit mengaku sebagai pengikutnya jika berkehendakkan air tersebut.
Saidina Omar al-Khattab pernah berkata: "Hadirlah di tempat orang yang
hampir mati, dan ingatkanlah mereka akan kalimah La ila ha illallah kerana
mereka nampak apa yang kamu tidak nampak."


Tanda-tanda mati

Riwayat daripada Saidina Uthman bin Affan (r.a.), katanya: Nabi s.a.w
bersabda: "Perhatikanlah orang itu menjelang wafatnya. Apabila kedua belah
matanya terbeliak, dahinya berpeluh dan membesar dua lubang hidungnya,
bererti rahmat Allah telah turun. Tetapi apabila dia mendengkur seperti
orang tercekik, tubuhnya pucat, mulutnya bertambah lebar, bererti seksa
Allah telah turun kepadanya."

* layu kedua-dua belah telinga dan hidung (sebelum nazak)
* kedua-dua tumit menjadi lembut, hidung menjadi bengkok, alis mata semakin
hilang, kulit muka menjadi tegang
* tulang pinggang rapat ke lantai
* keluar peluh dan air mata, menandakan orang Mukmin itu mendapat kabar
gembira tetapi berasa malu kerana dia sedar dosa yang dilakukannya. Itu juga
satu petanda dia mendapat rahmat Allah.
* seluruh badan kejang kerana roh sedang bergerak keluar daripada jasad
* mata yang terbuka kerana mengikut roh yang keluar daripada jasad

Selepas kematian

* Kematian perlu disahkan oleh doktor perubatan - jika terdapat keraguan
mengenai sebab kematian, jenazah akan diarahkan dihantar ke hospital untuk
bedah siasat
* Perlu dilaporkan kepada polis untuk mendapat permit pengkebumian.
* jangan memandikan jenazah sebelum mendapat permit. Ini adalah untuk
mengesahkan kematiannya
* waris/ahli keluarga perlu berbincang untuk persiapan memandi dan
mengapankan jenazah
* dapatkan tukang mandi jenazah
* tentukan tanah perkuburan
* dapatkan kenderaan jenazah

Yang perlu dilakukan segera terhadap orang yang baru meninggal dunia

* Tutupkan perlahan-lahan mata dan mulutnya, jika terbuka
* sapu minyak, usap dan urut seluruh anggota dan sendi-sendi mayat khususnya
pergelangan tangan, siku, paha, lutut dan kaki sebelum urat-urat itu menjadi
keras. Ini bagi memastikan keseluruhan sendinya lembut dan mudah dimandikan
* Bersihkan mayat daripada najis dan kekotoran terutama jika dia sudah sakit
terlantar begitu lama
* salin semua pakaiannya termasuk pakaian dalam dengan kain yang dapat
menutup seluruh anggotanya. jaga auratnya kerana dia juga malu.
* Ikat dagu dan pergelangan kakinya. Kemudian tutup mayat dengan kain
* Hadapkan mukanya ke arah kiblat (tinggikan kepalanya dengan menggunakan
bantal)
* sunat diletakkan sesuatu yang keras di atas perut mayat (tetapi jangan
letak al-Quran) supaya perut tidak masuk angin dan membesar (takut menjadi
fitnah)


4 perkara wajib dilaksanakan untuk jenazah orang Islam

* Dimandikan
* Dikapankan
* Disembahyangkan
* Dikebumikan

Keempat-empat perkara di atas adalah fardu kifayah iaitu apabila telah
dilaksanakan oleh sebahagian orang (waris, jiran, rakan dll), maka orang
lain terlepas daripada dosa.

Saya rasa cukup dulu sampai di sini. InsyaAllah, jika Allah memberikan saya
masa dan kesempatan serta idea, saya akan sambung pula dengan penjelasan
ringkas mengenai keempat-empat perkara wajib tersebut. Dan, seperti yang
saya sebut tadi, saya amat mengalu-alukan jika ada sesiapa yang ingin
menambah mana-mana poin penting yang tertinggal atau membetulkan mana-mana
bahagian yang saya tersilap. Semoga kita sama-sama dapat memanfaatkan ilmu.

Yang baik itu daripada Allah swt, yang kurang baik itu atas kesilapan dan
kelemahan saya sendiri.

 

Agamaku Homepage ® Moderator