Cerita Teladan - Jangan bersumpah, nanti makan diri


Jenazah Salmiah (bukan nama sebenar) dibawa ke dalam bilik untuk
dimandikan . Ahli keluarga arwah dan bilal jenazah wanita masuk
mengiring. Saya berehat di ruang tamu, membaca ayat-ayat suci al-Quran.
Bunyi jirusan air mencurah, kemudian jatuh ke dalam bekas mandian
kedengaran jelas.
Habis sekali Yasin, saya bersandar ke dinding ruang tamu banglo cantik
itu untuk melegakan urat belakang yang tegang. Saya picit-picit tengkuk,
belakang lutut dan pergelangan kaki yang terasa sengal dan kebas.
Ahhh,...baru lega.

Saya pandang sekeliling, jiran-jiran yang duduk di sisi serta yang yang
baru sampai. Tapi secara puratanya, kalau nak dibandingkan dengan
kematian di tempat lain, saya dapati tidak ramai yang datang melawat ke
sini. Mungkin kerana arwah dan suaminya, Pahamin, tidak bercampur sangat
dengan masyarakat.

Arwah lebih banyak menghabiskan masa di dalam rumah, tidak gemar
menghadiri majlis-majlis dan kenduri kendara di tempat kediamannya
manakala si suami jarang pulang ke rumah. Maklumlah, arwah adalah isteri
mudanya. Saya memerhati sekeliling, mencari kalau-kalau ada kenalan yang
datang. Diketika meninjau-ninjau itulah saya ternampak suami
allahyarham, Pahamin sedang duduk di tepi tingkap sambil meriba anak
bongsunya. Umur budak perempuan itu baru dua tahun. Abang dan kakaknya
pula duduk dengan datuk mereka, bapa arwah Salmiah di dalam bilik.

Sudah lama saya kenal Pahamin, yang saya panggil Bang Min. Pahamin
pernah meminta pertolongan saya untuk 'memulihkan' anak gadisnya yang di
dakwa terkena buatan orang.

Menurut Pahamin, anak gadisnya dengan isteri tua beliau itu bekerja
sebagai peramugari. Rupa parasnya menawan, potongan badan pun anggun.
Masalah bermula apabila gadis berusia 20 tahun itu menghina seorang
lelaki Indonesia yang mengusiknya ketika pulang dari bekerja. Kata gadis
itu, dia lebih rela berkahwin dengan kambing daripada dengan lelaki
Indonesia tersebut yang Cuma bekerja sebagai buruh binaan.

Namun seminggu kemudian, dia mula teringatkan lelaki itu. Rindu
dendamnya makin menjadi-jadi menjelang senja. Kalau sehari tidak melihat
lelaki berkenaan, anak gadis Pahamin akan meracau, menyebut-nyebut
namanya. Alhamdulillah beberapa minggu selepas di rawat, gadis tersebut
berjaya melupakan lelaki berkenaan. Nyata sekali, dia telah didengki
dengan sihir.

Dari situlah saya mula kenal lebih rapat dengannya. Bila sudah kenal,
Pahamin menceritakan pula latar belakang keluarganya, tentang isteri tua
dan isteri muda. Saya pernah ke banglo itu, tapi tidak berbual sangat
dengan arwah kerana saya lihat dia agak pendiam.

Saya tutup surah Yasin dan berjalan ke arah Pahamin yang sedang membelai
rambut anaknya itu.

" Assalamualikum, Bang Min."

" Waalaikumsalam. Oooo...ustaz, bila datang ?" dia bertanya.

" Dah 10 minit. Saya duduk di sana, dekat tepi almari."

" Maaflah, tak perasan," balas Pahamin.

" Bila arwah meninggal, Bang Min ? "

" Semalam, Maghrib. Di hospital," kata Pahamin.

Menurut Pahamin, dia sendiri tidak menyangka Salmiah akan meninggal
kerana menurut doktor, Cuma demam panas sahaja. Namun demamnya tidak
pulih walaupun seminggu ditahan di wad, Salmiah meninggal dunia.

" Kami bawa mayatnya malam tadi. Sampai sini pukul 9.00 malam," kata
Pahamin.

" Tapi... umur dia belum masuk 40 lagi kan, Bang Min ?"

" Belum, baru 37. Kira muda lagi. Saya kahwin dengan dia 12 tahun lepas,
masa tu umur dia 25 tahun. Entahlah ustaz, patutnya saya yang pergi
dulu...dah dekat 65 ni. Sakit jantung lagi..." kata Pahamin. Suaranya
bergetar kerana terlalu sedih.

" Sabarlah...redhakan dia pergi, Bang Min,"

Di sebabkan ada seorang saudara Pahamin datang, saya meminta diri. Saya
kembali duduk di tepi almari dan membaca zikir serta ayat-ayat suci.
Seorang demi seorang jiran datang. Sedang khusyuk membaca, tiba-tiba
terdengar nama saya di panggil.

" Hah..., awak. Kenapa Wan ?" saya bertanya kepada bilal jenazah wanita.
Wan yang tiba-tiba muncul dan bertinggung di depan saya.

" Ustaz..." bisiknya, " ada hal sikitlah " sambungnya sambil memberi
isyarat mengajak saya ke tempat lain.

" Kenapa ? Di sini kan boleh," tanya saya. Surah Yasin saya tutup dan
masukkan ke dalam poket.

Wan menggeleng. Dia memandang sekeliling saya, memberi isyarat bahawa
'di sini ramai orang' Dari raut wajah dan kerutan dahinya, saya pasti
ada sesuatu yang tidak kena semasa dia menguruskan jenazah.

" Ustaz...kita ke sana, ya," bisik Wan.

Dia perlahan-lahan berjalan menuju ke sudut rumah yang agak jauh sedikit
daripada orang ramai yang menziarah. Saya bangun dan mengekorinya.
" Kenapa ni ? Berkerut aja muka awak," kata saya.

Anak murid saya tu menggaru kepala. Dia menoleh ke kiri dan kanan. Ada
perkara yang hendak di luahkannya, tapi masih tak mampu diluahkannya.
" Cakaplah...ada masalah apa ?" saya bertanya.

" Macam ni ustaz," kata Wan. " Alaaa..ni ...apa tu..." dia
tergagap-gagap.

" Tak apa...beritau saya, mungkin saya boleh Bantu," kata saya.

Dengan suara berbisik Wan berkata; "Ustaz bahagian sulit arwah bengkak,
keluar nanah tak henti-henti."

Nanah ? Saya terkejut. Tadi, Pahamin tidak pula memberitahu saya apa-apa
akan keadaan arwah. Malah penyakit arwah tiada kaitan dengan alat
kelaminnya.

" Bengkak macam mana ? Nanah macam mana ? " tanya saya.

Menurut Wan, sewaktu meratakan air ke tubuh jenazah, dia menggosok
bahagian alat sulit arwah, tiba-tiba dia merasa ada sesuatu yang pelik.
Kemaluan jenazah bengkak seperti belon. Ia merening merah seperti jambu
air yang sedang ranum. Seolah-olahnya bahagian itu baru di sengat
binatang berbisa, hanya menunggu masa untuk pecah dan menyemburkan
isinya.
Lebih mengejutkan Wan, bila gosok ke celahan bahagian alat sulit itu,
mengalir pula nanah yang amat busuk baunya. Ia berwarna
kuning-kehijauan, seperti nanah atau darah yang bercampur-aduk dengan
kotoran pekat. Likat, meleleh dari farajnya.

" Baunya...ya Allah, busuk. Saya mencucinya dengan air dan kapas, tapi
kemudian mengalir semula. Ia tak berhenti-henti meleleh walaupun puas di
cuci," tambah Wan.

Anak murid saya itu memberitahu, kawan-kawan yang menggantikannya untuk
membersihkan bahagian sulit arwah juga merasa pelik melihat bengkak yang
lebam merening serta nanah pekat yang terus-terusan mengalir. Hendak di
bincangkan di situ, bimbang nanti tersinggung pula ahli keluarga arwah
yang turut ada di dalam bilik.

" Sebab tulah saya datang jumpa ustaz ni. Saya teringat ustaz ada di
luar, mungkin boleh tolong sikit, beritau kami apa nak buat. Saya tak
maulah benda ni jadi heboh. Aib jenazah, ustaz," kata Wan.

Mendengar cerita itu, saya menasihatkan Wan supaya terus memandikan
jenazah tersebut. Apabila di rasakan sudah cukup bersih, cepat-cepatlah
di lap, kemudian letakkan kapas bahagian tersebut. Lekapkan agak tebal
sedikit supaya nanah tidak menembusinya.

Kata saya, buat sepantas yang boleh supaya bau tersebut tidak tersebar,
kelak akan memalukan jenazah. Kepada orang yang memandikannya, bukan
rahsia, tapi kepada keluarga dan jiran-jiran, tentulah mereka nanti
tertanya-tanya. Dari situ, timbul pula fitnah dan cakap-cakap yang tidak
elok.

" Terima kasih ustaz," kata Wan." Saya pergi dulu "

Dia bergegas masuk semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian, bunyi
jirusan berhenti. Lebih setengah jam kemudian, Wan memberitahu saya,
jenazah sudah pun di kapankan. Seperti lazimnya, ahli keluarga arwah
merapati mayat untuk mencium dan membacakan ayat-ayat suci untuknya.
Mayat di kebumikan tidak lama kemudian.

Selesai urusan, saya mendekati Wan, dan bertanya lebih lanjut kepadanya.
Maklumlah, dia baru beberapa tahun terlibat dengan pengurusan jenazah
dan tidak ada pengalaman menyempurnakan mayat yang sebegitu sifatnya.
Nyata, Wan masih terkejut dengan apa yang di alaminya tadi.

" Ustaz," kata murid saya itu, " bukan aja kemaluan arwah bengkak
merening, bernanah, tapi buah dada dia pun jadi..jadi...macam mana saya
nak cakap ya..." katanya tanpa menghabiskan kata-kata.

" Jadi macam mana pulak, Wan ?" saya bertanya.

" Hmmm...jadi kecut. Macam mana ustaz tengok buah pinang kering, kecut,
berkedut, macam tu lah buah dada jenazah. Macam peria kecut. Saya bukan
nak aibkan jenazah, tapi nak beritau ustaz aja. Saya tak pernah tengok
benda-benda macam ni, jadi saya beritau supaya ustaz yang dah berpuluh
tahun urus jenazah dapat membantu," katanya.

Saya termenung. Aneh benar keadaan si mati. Bukannya hendak
mengada-adakan sesuatu yang buruk, bukan....tapi terfikir saya, kenapa
hanya di bahagian-bahagian sulitnya saja yang jadi jelik. Badannya macam
biasa saja, tapi pelik sungguh...yang bawah merening, yang atas mengecut
?

Kalau dia sakit teruk, tak makan tak minum hingga badan tinggal tulang,
mungkin juga. Itulah logiknya hingga buah dada arwah mengecut. Tapi
arwah tidak macam tu. Dia cuma terlantar seminggu di hospital. Makan
minumnya terjaga.

" Tak apalah, Wan. Serahkan lah sahaja pada Allah. Kita ni tak boleh nak
syak wasangka tanpa bukti. Mungkin dia ada penyakit di bahagian itu,
mana kita tau.

" Anggaplah ini pengalaman yang baik, yang akan mengajar awak bagaimana
untuk menguruskan jenazah-jenazah lain pada masa-masa akan datang."
Tambah saya lalu meminta diri.

Hendak di jadikan cerita, dua minggu kemudian Pahamin datang ke rumah
saya. Dia mengadu tidak dapat tidur lena kerana selalu di ganggu
bayangan arwah.

" Kadang-kadang nampak kelibat dia dalam bilik tidur. Ada kalanya berbau
wangi, macam perfume yang dia selalu guna. Anak-anak pula beritahu,
pernah mereka terdengar bunyi tapak kaki berjalan dalam bilik arwah.
Tapi bila buka, tak ada," katanya.

Lama juga kami berbual, hinggalah masuk kepada bab keluarga. Tanpa
sedar , dan tanpa di minta Pahamin membuka rahsia hubungan beliau
dengan arwah. Langsung, tersingkaplah rahsia mengapa bahagian-bahagian
sulit arwah menjadi demikian jelik.

" Ustaz," kata Pahamin, " saya rasa, mungkin ia berlaku sebab arwah
nusyuk dan melanggar sumpah."

" Sumpah ? Saya tak faham, Bang Min."

" Ya, sumpah. Saya akui, saya ni bukan baik sangat. Arwah pula bila
jiran-jiran beritahu saya ada perempuan lain, dia mula naik angin. Dia
kata, tak cukup dua, nak menggatal lagi. Tua tak sedar diri, katanya.

" Hubungan kami jadi renggang. Kami selalu berselisih faham.Saya makin
jarang balik ke rumah arwah. Kalau balik pun, tak ada lain....
Bertengkar, bertengkar, bertengkar.

" Dalam masa yang sama , saya di maklumkan oleh kawan-kawan, arwah ada
buat hbungan sulit dengan lelaki lain. Saya tanya dia, betul ke?. Dia
tak mengaku. Macam-macam dia berdalih. Tapi saya tak percaya. Bagi saya,
kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang. Hubungan kami makin hari
makin teruk.

" Kemuncaknya kami bertengkar hebat. Saya kata, Salmiah, cakap terus
terang, awak ada buat hubungan dengan lelaki lain tak ? Awak ada buat
benda tak senonoh tak ?. Dia tak mengaku. Saya kata, saya tak percaya.
Lama kami bertengkar. Akhirnya dia kata, kalau suami boleh buat, boleh
cari perempuan lain, kenapa isteri tidak?. Kata arwah dia masih muda,
masih bergetah, bukannya susah sangat nak cari pasangan.

" Bila saya kata, ' awak mesti dah buat benda terkutuk dengan lelaki
lain' arwah marah. Dia marah betul. Dia kata,' saya bersumpah , kalau
saya buat dengan orang lain, alat sulit saya ni akan di binasakan
Tuhan.'

" Lebih kurang tiga bulan lepas bersumpah, arwah sakit. Badan panas, tak
boleh bangun, sampailah meninggal. Yang saya pelik, dan menyebabkan saya
kata mayat dia jadi macam tu sebab derhaka dan melanggar sumpah ialah
alat sulitnya merening manakala buah dada mengecut sebaik sampai ke
rumah.

" Kami perasan benda tu masa nak salin pakaiannya. Mula-mula nampak buah
dadanya mengecut. Kemudian nampak pula bahagian alat sulitnya
mengelembung, merening macam belon. Makin lama, makin besar dan keluar
nanah," kata Pahamin.

Saya termangu mendengarnya. " Mungkin dia ada sakit di bahagian itu tak,
Bang Min ?"

" Tak ...tak ada. Yang itu saya tau benar. Lagi pun saya tengok dia di
hospital, buah dada dan alat kelaminnya normal," tegas Pahamin.

Saya termenung. Ini sudah kes berat. Dalam hati saya berkata, mungkin
ini lah balasan Tuhan pada isteri yang menderhaka, curang, nusyuk kepada
suami.

Agamaku Homepage ® Moderator