Jamaah
Islam
Assalamualaikum
wbt
Satu
perkara yang perlu difahami oleh setiap pemuda muslim
ialah bahawa urusan amal Islami adalah urusan yang menentukan
dan asasi. Jadi dia mestilah pandai memilih jalan mana
yang patut dilalui. Juga dapat memastikan tentang keselamatannya.
Tidak perlu ia tergesa-gesa dalam memilih sesuatu jemaah
untuk dimasukinya lantas bekerjasama dengannya di dalam
melaksanakan prinsip-prinsip Islam. Dia mestilah sentiasa
ingat bahawa ia hanya mempunyai satu umur dan satu jiwa.
Jadi janganlah dipertaruhkan hidup yang hanya sekali itu
kepada satu jemaah yang belum diyakini kebenarannya. Sebaliknya
dia mestilah terlebih dahulu mengkaji dan menimbangnya
dengan semasak-masaknya sehingga nyata kepadanya bahawa
jemaah yang hendak dimasukinya itu adalah jemaah Islam
yang benar. Itu lebih baik daripada memilih jalan lain
yang tidak benar dan memasukinya tanpa selidik dan periksa
terlebih dahulu.
Patutlah
disebutkan di sini bahawa untuk merealisasikan segala
tuntutan Islam hendaklah melalui jalan Rasulullah (s.a.w.).
Sebelum baginda membangunkan Ad Daulah Al Islamiah yang
pertama itu, baginda menekankan dan mementingkan persoalan
sekitar penegakan akidah Islam di dalam jiwa mukminin.
Kemudian mendidik mereka di rumah Al Arqam (Darul Arqam)
dengan hidangan Al-Qur'an di Madrasah Rasulullah (s.a.w).
Dari Madrasah itu, terbentuklah para lelaki akidah (rijalul
akidah).
Akidah
ini menguasai perasaan, pemikiran dan jiwa mereka malah
menjadi asas di dalam kehidupan mereka. Mereka mengorbankan
waktu mereka, usaha mereka, kesihatan mereka, fikiran,
harta, malah nyawa mereka untuk akidah Islam. Mereka tetap
berpegang teguh kepadanya dan rela menanggung segala gangguan
dan penindasan. Mereka tidak pernah berundur, walaupun
apa akan terjadi pada diri mereka. Mereka terus menyebarkan
dakwah Islam, mempertahankan dan berjihad pada jalannya
dengan harta dan jiwa mereka. Mereka itulah yang menjadi
tiang dan teras yang kuat di dalam asas Ad Daulah Al Islamiah
yang pertama.
Kemudian
Rasulullah (s.a.w) mempersaudarakan dan menyusun mereka.
Rasulullah (s.a.w) mengikat janji dan sumpah setia dengan
mereka untuk sama-sama membela agama ini dengan segala
apa yang ada pada mereka. Akhirnya kemenangan dan kekuasaan
di muka bumi berada di tangan mereka.
Demikianlah,
Rasulullah (s.a.w) telah berjaya membuktikan bahawa kekuatan
akidah datang dahulu, kemudian diikuti pula oleh kekuatan
kesatuan, dan akhirnya kekuatan tangan dan senjata. Apabila
dasar dan asas yang kuat dan pejal telah terbentuk, mereka
mampu menghadapi musuh-musuh Allah (s.w.t) dan mampu pula
membalas segala bentuk percerobohan dengan kekuatan.
Firman
Allah Taala:
"Telah
diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi
kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya Dan sesungguhnya
Allah (s.w.t) benar-benar berkuasa menolong mereka."
(Al-Haj: 39)
Dalam
proses pembentukan dasar dan asas yang kuat di kalangan
mukmin yang masih sedikit bilangannya, Rasulullah (s.a.w)
mewasiatkan mereka supaya bersabar menanggung segala penderitaan
dan azab sengsara dan berpegang teguh kepada al Haq (kebenaran)
yang telah mereka imani dan terus menerus menyampaikan
dakwah kepada orang lain. Mereka tidak dituntut untuk
menghadapi kebatilan dengan kekuatan (sama ada kekuatan
tangan atau senjata).
Jadi
jemaah yang mesti dipilih dan dimasuki oleh para pemuda
Islam ialah jemaah yang berjalan di atas jalan Rasulullah
(s.a.w). Mana-mana jemaah yang tidak mengutamakan sudut-sudut
tarbiah (pendidikan) dan penyatuan tetapi mempergunakan
kekuatan, maka itu adalah satu jemaah yang memperjudikan
nasib dan usahanya. Ini membahayakan amal Islami (usaha
dan perjuangan Islam). Jadi, segala usaha ke arah pemerintahan
dengan jalan kekerasan atau kekuatan tanpa tarbiah dan
perpaduan atau dengan jalan yang mengabaikan tarbiah,
merupakan pertaruhan bahkan satu kerugian terhadap amal
Islami. Walaupun ia berkembang dan membesar menurut tabi'i
sebelum dasar dan asas menjadi kuat, namun ia tidak mantap
dan tiada kesungguhan untuk berjalan terus menerus.
Jadi
mestilah terlebih dahulu dibentuk dasar yang kuat dan
pejal. Dengan demikian ia redha kepada hukum-hukum Islam,
melindunginya, membelanya dan tidak berkompromi dengan
hukum yang lain darinya. Demikianlah, pembinaan itu mestilah
didahului dari asas bukan dari puncak. Apabila sesuatu
bangunan yang hendak dibina itu besar dan tinggi, maka
asasnya mestilah luas dan dalam pula. Samalah keadaannya
dengan bangunan yang hendak kita bangunkan ini adalah
bangunan yang paling besar dan paling tinggi iaitu 'Ad
Daulah Islamiah Alamiah' (negara Islam sejagat) kerana
dakwah kita adalah alamiah (antarabangsa) demikian juga
musuh-musuh kita adalah alamiah juga. Jangka masa yang
digunakan di dalam medan ini diukur dengan umur dakwah
bukan diukur dengan umur individu.
Dengan
rahmat kurnia Allah (s.w.t), kita dapati Al Imam Hassan
Al Banna telah mengambil jalan ini dari seerah Rasulullah
(s.a.w). Beliau menegaskan betapa perlunya dipersiapkan
al fardi muslim (individu muslim) sebagai lelaki akidah
(rijalul akidah), pentingnya didirikan keluarga muslim
(usrah muslimah) dan akhirnya masyarakat muslim (mujtama
muslim). Di atas asas-asas yang kuat inilah, kelak terdirinya
Ad-Daulah-Islamiah dan seterusnya Al-khilafah Islamiah,
InsyaAllah.
[Utz
Mustafa Masyhur]
|