Pesanan Imam Ghazali


Semoga artikel ini dapat menambahkan lagi rasa cinta dan takut kita terhadap
Allah ...... InsyaAllah...

Manusia tidak pernah lepas dari melakukan maksiat....Oleh yg demikian marilah kita sama2 sentiasa berdoa agar Allah mengampun kan dosa2 kita...

JAUHI MAKSIAT ZAHIR
IMAM GHAZALI rahimahullah berkata bahawasanya agama itu terbahagi kepada dua. Pertamanya meninggalkan maksiat yang ditegah dan satu bahagian lagi adalah mengerjakan segala yang disuruh.

Lazimnya, berbuat taat dan menurut segala yang disuruh itu adalah lebih mudah berbanding dengan meninggalkan perkara yang dilarang. Kerana itulah Nabi SAW bersabda, “Orang yang berhijrah itu adalah seorang yang meninggalkan kejahatan dan orang yang berjihad ialah seorang yang memerangi hawa nafsunya.” Individu yang berbuat maksiat adalah mereka yang
mengkhianati Allah dan mengkufuri nikmat yang dianugerahkan-Nya. Ini kerana
anggota tubuh badan adalah satu nikmat dan amanah Allah kepada hamba-Nya.
Sekiranya hamba tersebut menggunakan anggota itu kepada perlakuan maksiat, ia telah menyalahi fitrah kejadiannya sendiri. Di waktu inilah seseorang itu
menjadi kufur terhadap nikmat Allah.

Oleh itu, hendaklah setiap individu muslim menjaga sungguh-sungguh seluruh anggota badannya terutamanya anggota yang tujuh iaitu memelihara MATA, TELINGA, LIDAH, PERUT, KEMALUAN, TANGAN dan KAKI. Ini kerana neraka Jahannam
itu terdiri dari tujuh pintu dan tidak terhumban ke dalamnya anak Adam
melainkan maksiat anggota yang tujuh itu.

MATA yang dianugerahkan Allah untuk melihat dan memimpin anggota tubuh yang
lain wajib dielakkan dari melihat empat perkara. Peliharalah mata dari
melihat perkara yang haram seperti aurat perempuan, melihat gadis remaja
dengan iringan syahwat, melihat kepada sesama muslim dengan pandangan yang
menghinakan dan melihat segala keaiban orang lain.

TELINGA yang berfungsi untuk mendengar sesuatu harus dicegah dari mendengar
segala perkataan bid’ah yang menyimpang dari ajaran agama, mendengar
umpat-mengumpat dan kata-mengata, mendengar perkataan yang keji dan juga
mendengar perkataan yang batil dan
sia-sia.

LIDAH diciptakan oleh Allah untuk berkata-kata. Maka hendaklah ia digunakan
mengikut fungsinya yang benar. Janganlah sampai ia diseleweng dengan
menuturkan kalimah dusta walau untuk tujuan bergurau-senda, mengumpat,
menfitnah, bertengkar dan mengucapkan segala perkataan kotor. Rasulullah SAW
bersabda, “Sesungguhnya dusta itu satu pintu dari sifat munafik.”
Tetapi dalam keadaan tertentu kita harus berdusta, misalnya untuk
mendamaikan dua orang yang berkelahi atau suami-isteri yang bergaduh, yang
mana tidak mungkin mereka dapat didamaikan kecuali dengan berdusta. Begitu
juga dengan mengumpat. Mengumpat dibenarkan jika membawa maslahah (kebaikan)
yang meliputi pada enam keadaan :-

1. Mendedahkan kejahatan penjenayah supaya dihukum pemerintah atau
mendedahkan kezaliman pemerintah supaya dihukum oleh rakyat.

2. Mendedahkan perbuatan mungkar seseorang supaya dia meninggalkan maksiat
tersebut.

3. Mendedahkan kezaliman seseorang untuk menuntut hakdan keadilan.

4. Mendedahkan kefasikan dan kezaliman seseorang kepada orang yang belum mengetahuinya bagi mengelakkanmereka bersahabat dengan si fasiq atau si zalim itu.

5. Memperkenalkan seseorang yang tidak dikenali melainkan dengan menyebut keaiban yang ada pada dirinya.

6. Menyebut akan sifat keji orang yang masyhur dengan kezaliman, kefasikan atau kejahatannya.

Selain dari enam situasi di atas, kita dilarang sama sekali dari mengumpat
walau apa yang dikata itu ada kebenarannya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW
bersabda, “Jangan mengumpat sebahagian kamu akan sebahagian yang lain.
Adakah sebahagian kamu suka memakan daging
saudaranya yang sudah mati? Sudah tentu kamu benci.”

PERUT pula hendaklah dipelihara dari memakan yang haram dan yang syubhah
(tidak jelas antara yang halal dan haram). Ini kerana makanan yang kita
makan akan menjadi darah daging. Rasulullah SAW bersabda, “Setiap daging
yang tumbuh dari makanan yang haram maka neraka adalah lebih utama
untuknya.”Rasulullah SAW turut bersabda lagi, “ Ibadat dan ilmu yang
disertai dengan memakan rezeki yang haram seperti membina rumah di atas
himpunan najis.”

Seterusnya, Imam Ghazali mengingatkan kita agar menjaga KEMALUAN dari segala
yang diharamkan ke atasnya oleh Allah. Hendaklah ia dipelihara sebagai mana
firman Allah, “ Dan mereka yang memelihara akan kemaluan mereka melainkan ke
atas isteri mereka atau ke atas hamba sahaya mereka, meka sesungguhnya
mereka tiada dicela.”

TANGAN turut harus dijaga dengan sebaik-baiknya dari memalukan dan
menjatuhkan maruah sesama Islam. Ia juga janganlah digunakan untuk mencapai
tujuan yang jahat atau menyuruh berbuat yang haram.

Manakala kedua KAKI pula hendaklah dipelihara dari melangkah ke
tempat-tempat maksiat yang ditegah oleh syarak. Dan juga kedua kaki itu
hendaklah dikawal dari menghadap pemerintah yang zalim tanpa sebarang
keadaan darurat yang mendesak.

Begitulah nasihat Imam Ghazali didalam kitabnya yang agung, ‘ Bidayatul
Hidayah.’ Sesungguhnya di akhirat nanti segala anggota tersebut akan memberi
kesaksian di atas apa yang dikerjakan di muka bumi ini sebagaimana firman
Allah di dalam Surah Ya-Siin, “
Pada hari Kami kunci mulut-mulut mereka dan tangan-tangan mereka memberitahu
Kami dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang telah mereka
usahakan.”.


 

Agamaku Homepage ® Moderator