Berbicaralah Hanya Bila Perlu


Oleh Hashim Hj. Ahmad

Lidah adalah salah satu daripada anggota badan yang penting bagi manusia. Ini kerana lidah berfungsi untuk membantu manusia ketika hendak makan dan minum. Selain daripada itu, lidah juga merupakan jurubicara bagi seseorang. Melalui lidahlah manusia berhubung dan berinteraksi sesama mereka. Bidalan Melayu ada menyebut bahawa 'Lidah Tidak Bertulang'. Ini bermaksud bahawa lidah seseorang itu akan terus bercakap dan mengatakan apa sahaja sekiranya ia tidak dikawal oleh tuan yang empunya badan.

Sebab itu lidah boleh membawa seseorang berada dalam keadaan bahaya dan sebaliknya. Manusia adalah makhluk bermasyarakat. Manusia tidak dapat hidup bersendirian. Mereka perlu bertolong bantu antara satu sama lain. Apabila kita berkawan dengan seseorang maka tanggungjawab lidah kita terhadap kawan tadi perlu dijaga dan diawasi. Ada masanya kita perlu diam dan ada pula ketika yang kita perlu bercakap apabila berhadapan dengan kawan. Semuanya bergantung kepada pengetahuan atau muslihat kita bercakap atau berdiam diri.

Di antara perkara yang perlu kita berdiam diri ialah tidak memperkatakan tentang keaibannya baik pada masa orang itu berada di hadapan atau ketika ia tidak bersama kita. Seseorang yang sentiasa membicarakan tentang keaiban kawannya tidak boleh dianggap sebagai kawannya yang sejati. Sebaik-baik perlakuan yang perlu dilakukan oleh seseorang dalam menghadapi situasi ini ialah dengan tidak mengambil tahu atau menganggap jahil tentang keaiban dan kecacatan yang ada pada kawan kita itu. Tidak ada faedah sedikit pun dan tidak ada makna kita berkawan dengan seseorang sekiranya dalam masa yang sama kita turut menjaja-jaja keaiban dan kecacatannya. Anggaplah kecacatan tersebut hak peribadinya sahaja.

Kita juga perlu berdiam diri dan tidak digalakkan berlawan cakap atau menjawab mulut dengan seseorang yang sentiasa membicarakan tentang keaiban dan kecacatan kawan kita. Seboleh-bolehnya, kita hendaklah menahannya dari bercakap atau berusaha untuk mengalih tajuk perbualan kepada satu topik yang lain. Jika kita tidak mampu berbuat demikian, maka sebaik-baiknya berdiam diri sahaja.

Sesungguhnya perbualan dan percakapan antara seseorang dengan seseorang akan menjadi bertambah rancak dan semakin berlarutan sekiranya ia mendapat sambutan dari kedua-dua belah pihak. Tetapi segera dapat dihentikan apabila sebelah sahaja yang bercakap. Kita juga tidak digalakkan bertanya khabar tentang hal-hal yang berkaitan dengan peribadi kawan apa yang dia buat, ke mana yang ia hendak pergi, makan lauk apa hari ini, berapa yang ia dapat dan sebagainya tidak perlu kita ambil tahu. Pertanyaan seperti di atas boleh menimbulkan masalah-masalah tertentu.

Boleh jadi ia berada dalam keadaan tersepit. Boleh jadi ia malu dan mungkin ia akan bercakap bohong pula dengan kita demi untuk menjawab segala soalan yang dikemukakan. Oleh itu jangan sekali-kali kita bersikap seperti mata-mata gelap terhadap kawan kita. Apabila terserempak dengan kawan di jalanan atau kita melihat dia sedang melakukan sesuatu perkara maka elakkanlah diri dari mendekatinya. Perbuatan yang demikian boleh mengganggu tumpuannya dalam menjalankan perkara maka elakkanlah diri dari mendekatinya.

Perbuatan yang demikian boleh mengganggu tumpuannya dalam menjalankan tugasnya. Mungkin juga ia sendiri tidak begitu suka untuk memberitahu kerja-kerjanya kepada kita. Kita juga tidak digalakkan menceritakan rahsia kawan yang diberitahu kepada kita kepada kawan kita yang lain. Kadang- kadang kawan kita merasa begitu percaya kepada kita hingga ia sanggup mencurahkan rahsianya kepada kita. Adalah menjadi tanggungjawab kita memelihara rahsia tersebut daripada menceritakannya kepada kawan kita yang lain. Kita hendaklah berdiam diri. Sesungguhnya perkara rahsia perlu dijaga amanahnya. Tuhan yang empunya rahsia meletakkan harapan yang besar sekali kepada kita supaya menjaga rahsia tersebut. Oleh itu janganlah rahsia itu diheboh-hebohkan. Mungkin rahsia tersebut diberitahu kepada kita kerana ia memerlukan bantuan dan pertolongan samada bantuan mental atau fizikal daripada kita. Seseorang itu akan dianggap sebagai tidak pandai menggunakan lidahnya apabila rahsia yang begitu kemas yang diberi kepercayaan kepada kita itu dibocorkan.

Sesungguhnya lidah adalah satu nikmat kurniaan Allah s.w.t. Membocorkan rahsia orang boleh dianggap sebagai satu perbuatan yang menyalahgunakan nikmat lidah. Sekiranya kita tidak suka seseorang itu mengetahui rahsia kita maka orang lain juga tidak suka rahsianya didedahkan. Tetapi rahsia itu diberitahu kepada kita dengan harapan kita dapat membantunya mengatasi kesulitan yang dihadapinya. Rahsia tetap rahsia. Ia tidak boleh diceritakan kepada sesiapa pun hatta kepada kawan yang dekat sekali dengan tuan punya rahsia tadi. Tak usahlah kita menunjukkan kebaikan kita kepada seseorang dengan menceritakan rahsia orang lain kepadanya - kononnya untuk berkongsi rahsia dengannya. Perkara ini biasanya terjadi kepada sepasang suami isteri. Apabila kita pergi ke kedai, kawan kita menceritakan rahsianya kepada kita. Kita tidak digalakkan menceritakan rahsia tersebut kepada isteri kita apabila tiba dirumah kelak. Ini bertujuan untuk mengelak daripada rahsia tersebut terbongkar dan tersebar luas. Mengikut kebiasaannya, sesuatu perkara itu dianggap sebagai rahsia apabila ianya tidak baik. la boleh diumpamakan sebagai sampah. Sampah biasanya dibakar atau ditanam. Begitu juga halnya dengan rahsia. Rahsia hendaklah disimpan dengan rapi dan tidak boleh dipecahkan. Kata orang tua-tua "biar pecah diperut, jangan pecah dimulut". Apabila sesuata rahsia itu diceritakan kepada orang lain maka ia akan merebak dan membesar dengan lebih luas lagi. Akhirnya ia tidak boleh dianggap sebagai satu rahsia lagi. Selain daripada itu, agama Islam juga menegah seseorang mendedahkan rahsia orang dulunya menjadi kawan karib tetapi ianya telah bertukar menjadi musuhnya pula. Sekiranya kita berbuat demikian maka ini menunjukkan bahawa kita memiliki hati yang busuk dan mempunyai peribadi yang tidak baik - 'perut huduh'. Kita juga dilarang mencaci maki anak buah seseorang dan menceritakan apa yang orang lain beritahu kepada kita tentang keburukan seseorang. Memang kita tidak mampu untuk menyekat rahsia itu diceritakan kepada kita tetapi biarlah cerita itu tamat setakat kita sahaja. Jadikan dada kita sebagai kubur - tempat mematikan rahsia orang. Mengikut kebiasaannya, orang yang mencaci maki kita selama ini ialah orang yang membawa berita tentang orang lain kepada kita tempoh hari juga. Dia adalah orang yang sama yang membawa berita keburukan orang lain kepada kita dahulu. Oleh itu cubalah elakkan diri dari mendengar berita keburukan orang lain yang diceritakan oleh seseorang. Ini adalah di antara keadaan- keadaan yang agama Islam meminta kia supaya berdiam diri - tidak menggunakan lidah yang kesemuanya bertujuan untuk menjaga kemuslihatan umum dan meletakkan masyarakat berada dalam keadaan aman, tenteram dan penuh harmonis.

Dalam memperkatakan tetang suruhan bercakap benar pula, maka Islam menyatakan bahawa tidak sayugia seseorang itu mengambil sikap berdiam diri dan menyembunyikan sesuatu apabila ia mendengar seseorang memberi pujian dan sanjungan kepada seseorang yang lain. Menceritakan benda yang baik kepada seseorang boleh membawa ia berada dalam keadaan gembira kerana ia mendapat pujian dan gembira juga kerana berita pujian itu disampaikan kepadanya. Menyembunyikan pujian seseorang daripada pengetahuannya pula boleh menyebabkan kita dituduh berdengki kepadanya. Oleh itu adalah tidak wajar sekali sekiranya kita mengambil sikap berdiam diri dari memberitahu pujian tadi. Kebiasaannya, apabila seseorang itu mempunyai perasaan dengki terhadap kawannya maka ia berusaha sedaya mungkin untuk menjadikan kawannya itu hidup dalam keadaan susah selalu. Kita juga disuruh menggunakan lidah - bercakap untuk menyuruh seseorang mengerjakan kebaikan (makruf) dan melarang daripada menggunakan perbuatan yang tidak baik (mungkar). Adalah dikira berdosa sekiranya kita mengambil sikap berdiam diri dalam hal ini. Apabila tiba waktu sembahyang, maka kita hendaklah mengajak kawan yang bersama dengan kita itu untuk mengerjakan sembahyang. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberitahu tentang dosa-dosa yang akan dihadapi sekiranya ia tidak mengerjakan sembahyang. Pandai-pandailah kita menggunakan pendekatan untuk memberitahu kawan kita tadi. Janganlah kita merasa segan dan malu untuk menggalakkan kawan kita mengerjakan 'makruf' (sembahyang) dan mencegah 'mungkar' (meninggalkan sembahyang). Nasihatilah ia dan sekiranya kita segan untuk memarahinya maka berbuatlah apa yang patut. Sesungguhnya seseorang itu mudah tertarik dengan teguran yang lemah-Iembut dan tidak kurang pula yang tidak tahan dengan teguran yang melulu. Sekiranya dilihat secara mendalam maka menyuruh membuat kerja 'makruf' dan meninggalkan kerja 'mungkar walau dimarahi oleh kawan kita tadi, pada hakikatnya ia bolehlah dianggap sebagai budi baik kita kepadanya. Seseorang ayah yang memarahi anaknya atau seseorang ketua pejabat yang mengambil tindakan disiplin ke atas pekerjanya, dipandang dari segi zahir nyata ia adalah satu perbuatan yang membencikan. Tetapi pada hakikatnya ia adalah satu ihsan - satu budi daripadanya. Sesungguhnya bahaya lisan (lidah ) itu adalah besar sekali. Manusia tidak akan selamat dari bahaya ini melainkan dengan bertutur yang baik sahaja. Dalam hal ini Rasulullah bersabda yang mafhumnya:- 'Barang siapa beriman kepada Allah s.w.t dan Hari Akhirat maka berkatalah yang baik atau pun diam sahaja'.

Bidalan Melayu juga ada mengatakan tentang bahaya lidah ini. Antaranya ialah: Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan merana. Oleh itu berhati-hatilah dalam mengharungi liku-liku hidup seharian. Awasilah pertuturan dan percakapan pada setiap masa dan waktu. Jagalah lidah kecuali bila berkata yang baik. Dengan berlaku demikian kita akan dapat mengalahkan syaitan serta akan rnenjadi rnanusia yang senang di dunia dan bahagia pula di akhirat.

 

Agamaku Homepage ® Moderator