7 perkara ganjil


Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri
kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa
dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan
keinginan untuk bertaubat kepada Allah s.w.t. Dia berkata,
"Sepanjang aku menggali kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah
melihat 7 perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut.
Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji
itu dan ingin sekali bertaubat."

"Yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap
kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu
malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa
terjadi begitu, wahai tuan guru?" tanya pemuda itu.

"Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan
Allah s.w.t. sewaktu hidupnya. Lantaran Allah s.w.t. menghinakan
mereka dengan memalingkan wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi
membezakan mereka daripada golongan muslim yang lain," jawab ahli
ibadah tersebut.

Sambung pemuda itu lagi, "Golongan yang kedua, aku lihat wajah
mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad.
Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah
mereka telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya,
wahai tuan guru?"

Jawab ahli ibadah tersebut, "Wahai anak muda, mereka itulah
golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya.
Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab.
Jika sempurna solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang
lain,"

Pemuda itu menyambung lagi, "Wahai tuan guru, golongan yang ketiga
yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa
sahaja. Pabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, kulihat
perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak
daripada perutnya itu."

"Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai
anak muda," balas ahli ibadah itu lagi.

"Golongan keempat, kulihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi
batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan
guru?"

Jawab ahli ibadah itu, "Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang
derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya
Allah s.w.t. sama sekali tidak redha kepada manusia yang
menderhakai ibu bapanya."

"Ku lihat ada pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga
membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh
badannya" sambung pemuda itu.

"Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan
silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran
dan tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Bukankah Rasulullah
s.a.w. pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa
melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda,"
jelas ahli ibadah tersebut.

"Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya
lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula
kubur itu, kulihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi
air hitam yang amat busuk baunya,"

"Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu
hayatnya," jawab ahli ibadah tadi.

"Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya
sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa
demikian halnya wahai tuan guru?" tanya pemuda itu lagi.

Jawab ahli ibadah tersebut, "Wahai pemuda, mereka itulah golongan
manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya
sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan
kemuliaan di sisi Allah s.w.t. baik sewaktu hayatnya mahupun
sesudah matinya."

Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah s.w.t kita datang dan
kepadaNya jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan
atas setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah.

Wallahua'lam.

Agamaku Homepage ® Moderator